Mazlan: Tidak kisah amaran, mahu pemilihan Umno ditangguh - Semasa | mStar

Mazlan: Tidak kisah amaran, mahu pemilihan Umno ditangguh

PETALING JAYA: Datuk Mazlan Harun yang menggesa pemilihan dan perhimpunan agung Umno hujung bulan ini ditangguhkan berkata, pihaknya tetap dengan pendirian mahu meneruskan usaha kemungkinan mendapatkan injuksi mahkamah jika kes politik wang pemilihan tidak diselesaikan sebelum 24 Mac ini.

Walaupun termaktub dalam Seksyen 18 C, Akta Pertubuhan 1966 bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar sebarang kes yang melibatkan parti politik, ahli Umno Bahgaian Subang itu tetap mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau bertegas dengan pendiriannya itu.

"Tindakan kita itu (untuk mendapatkan injuksi) bukan kerana soal rasuah atau salah guna kuasa.

"Selain itu, kalau ada ahli Umno yang yang dituduh di mahkamah kerana kesalahan politik wang, mereka semestinya ada hak untuk membela diri dan hal itu ada kaitan dengan parti politik," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Semalam, Mazlan dan Ketua Cawangan Umno Muar, Datuk Kadar Ninam Shah menggesa Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan 24 hingga 28 Mac ini ditangguh supaya kes-kes politik wang yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat diselesaikan.

Mereka juga akan mendapatkan perintah injuksi mahkamah sekiranya semua kes politik wang gagal diselesaikan sebelum perhimpunan agung.

Mazlan berkata, dalam negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh membawa sebarang rasa tidak puas hati ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan.

Berhubung amaran yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa “mana-mana ahli yang membawa perkara parti ke mahkamah hilang keahliannya secara sendirinya” mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO, Mazlan berkata, beliau tidak risau mengenai hal itu.

"Saya sudah fikir sebelum buat kenyataan. Saya nak takut apa... saya pejuang.

"Kalau niat kita untuk berjuang dan nak betulkan (parti), kita tidak perlu takut.

"Kalau kita tidak bersuara, rakyat akan buang Umno," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MB Perak tidak hadir mesyuarat PAC

Artikel Berkaitan

Artikel Lain