suria

Perubahan kepimpinan tidak akan jejas dasar - Muhyiddin

HUA HIN (Thailand): Dasar dan rancangan yang telah disediakan untuk mengurangkan kesan krisis ekonomi global akan kekal meskipun akan berlaku perubahan kepimpinan di Malaysia bulan depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

"Bagi Malaysia, ia bukan perubahan kerajaan tetapi kepimpinan. Parti memerintah yang sama. Insya-Allah, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih (kepimpinan) daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Oleh itu, apa yang dirancang untuk menangani krisis akan diteruskan dan apa sahaja keperluan yang perlu dilakukan selepas itu," kata beliau dalam temu bual secara langsung dengan CNBC.

Muhyiddin berada di sini sempena Sidang Kemuncak Asean ke-14.

Mengenai perubahan kepimpinan di negara lain di rantau ini, terutamanya Indonesia, beliau berharap sebarang perubahan kepimpinan tidak akan menjejaskan isu keutamaan untuk menangani krisis.

"Saya tidak begitu pasti mengenai yang lainnya di rantau ini kerana terdapat perbezaan peringkat isu dan masalah yang perlu ditangani.

"Diharapkan, ia tidak sampai ke peringkat mengganggu apa sahaja isu keutamaan yang perlu ditangani dengan krisis ekonomi ini," katanya.

Mengenai pakej rangsangan kedua atau bajet mini yang akan diumumkan pada 10 Mac ini, Muhyiddin berkata ia mungkin lebih daripada RM10 bilion atau RM15 bilion, tetapi "yang paling penting ialah pelaksanaannya."

"Wang itu perlu sampai ke bahagian yang perlu dibelanjakan. Perlu ada sistem pemantauan bagi memastikan wang berkenaan dibelanjakan pada tujuan itu, terutamanya perniagaan, industri dan rakyat yang kami rasakan penting untuk disokong," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain