suria

Pakatan bincang opsyen SPRM di DUN

SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat akan membincangkan opsyen tindakan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubungan tuduhan dihadapi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri Selangor 10 Mac ini.

"Isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat DUN nanti merangkumi beberapa opsyen yang boleh diambil terhadap SPRM. Kita mahu SPRM menjalankan tugas mereka secara telus dan profesional.

"Kami telah bersedia untuk berbincang mengenai isu ini biarpun ada ADUN daripada Barisan Nasional (BN) ketika itu. Tiada apa yang perlu disorokkan.

"DUN merupakan pentas terbaik untuk membincangkan tindakan yang dikenakan oleh SPRM terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim," kata Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Terdahulu beliau menghadiri Retreat ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan di Selangor di sini hari ini.

Azmin bagaimanapun enggan mendedahkan opsyen yang akan dibincangkan dalam mesyuarat DUN tersebut.

"Kami belum putuskan opsyen apa yang akan dibincangkan.

"Semuanya masih lagi dalam perbincangan ketika ini," katanya.

Semalam SPRM berkata wujud bukti kukuh yang menunjukkan Khalid menyalahgunakan kuasanya dalam isu penyelenggaraan kereta dan pembelian lembu korban.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya mendapati terdapat bukti bahawa Khalid telah menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 untuk sambutan Aidiladha pada Disember tahun lalu di kawasan Parlimen beliau di Bandar Tun Razak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain