suria

Kerajaan sedia lakukan perubahan dasar sewajarnya - Najib

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersedia meneliti semula dan membuat perubahan sewajarnya terhadap dasardasar kerajaan.

Beliau berkata ini perlu bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan berikutan keputusan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan sokongan di luar dugaan terhadap pembangkang.

Najib turut memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus melaksanakan tanggungjawabnya berasaskan rakyat pelbagai kaum dan perkongsian kuasa bagi memastikan kepentingan seluruh rakyat Malaysia dibela.

"Ia bukanlah soal sama ada kerajaan majoriti ataupun minoriti. Ia adalah kerajaan untuk semua rakyat Malaysia," katanya semasa berucap pada majlis Malam Muhibbah Malaysia-China di sini malam tadi.

Beliau berkata kerajaan BN komited untuk memperjuangkan hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia.

"Saya percaya kami boleh memenuhi inspirasi dan aspirasi semua kaum. Marilah kita mencari penyelesaian baru bagi menangani permasalahan. Marilah kita membangunkan bukan sahaja hubungan ekonomi dan politik, tetapi juga jalinan sosial dan kebudayaan dengan semua kumpulan etnik di negara ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa masyarakat Cina terus bekerja bersama-sama dengan kaum lain di negara ini, bagi membangunkan negara.

"Seperti yang pernah dinyatakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bahawa kita boleh mempercayai rakyat Cina di China pada 1974 (apabila Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China), saya akan menyatakan perkara yang sama bahawa kita boleh mempercayai dan mempunyai keyakinan dengan masyarakat Cina di Malaysia.

"Marilah kita berganding bahu, bersama-sama membuka lembaran baru, era baru dan masa depan baru bagi semua rakyat Malaysia," katanya.

Najib turut mengulangi bahawa kebajikan masyarakat Cina di Perak akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri BN, yang baru dibentuk.

Pada majlis, syarikat pengedaran produk kesihatan HaiO Marketing dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China masing-masing menyumbangkan RM113,00 dan RM10,000 untuk Tabung Gaza. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain