suria

Sampel tisu Kugan dihantar ke Australia

KUALA LUMPUR: Keluarga A.Kugan, suspek kes curi kereta mewah yang mati dalam tahanan polis, akan menghantar sampel tisu dan sel badan mendiang ke Australia dalam tempoh terdekat.

N.Surendran, peguam yang mewakili keluarga mendiang, berkata keputusan itu dibuat oleh keluarga Kugan yang tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat pertama yang dilakukan di Hospital Serdang pada 21 Januari lalu.

"Segala kos untuk menghantar sampel itu ditanggung sendiri oleh keluarga mendiang," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan laporan bedah siasat kedua yang dilakukan di PPUM dijangka siap dalam tempoh tujuh ke 10 hari lagi.

Laporan bedah siasat kedua dibuat selepas keluarga mendiang mengesyaki kematian Kugan akibat didera polis kerana terdapat kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat pertama menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Surendran berkata keputusan laporan kajian sampel yang akan dilakukan di Australia itu akan dihantar terus kepada keluarga mendiang tanpa melalui pihak berkuasa.

"Keluarga mendiang akan memaklumkan sendiri punca sebenar kematian Kugan," katanya.

Kugan, 23, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, pada 15 Jan lepas, mati dalam lokap Balai Polis USJ Subang Jaya pada 20 Jan lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain