suria

Reaksi ADUN keluar Pakatan

BERIKUT adalah adalah reaksi tiga daripada empat ADUN yang keluar daripada Pakatan Rakyat.

ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua minggu lalu hari ini kembali menyertai BN.

Tiga yang lain bertindak menjadi ADUN Bebas adalah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Nasarudin (Bota) hormati pengundi

"Saya mengambil keputusan untuk kembali menyertai BN berdasarkan keadaan politik yang tidak menentu dan bercelaru sehingga wujud satu kerajaan yang tidak kukuh di Perak.

"Saya juga mengambil kira dan menghormati pengundi-pengundi di kawasan pilihan raya Bota serta menghormati prinsip-prinsip amalan demokrasi.

"Selain itu saya juga mengambil kira nasihat dan pandangan rakan-rakan politik dan orang-orang perseorangan yang ingin melihat wujudnya keadaan dan suasana politik dan kerajaan yang kukuh di Perak.

"Maka saya dengan penuh perasaan dan kesedaran serta tanggungjawab akan kembali semula menyertai Umno dan BN hari ini.

Jamaluddin (Behrang) yakin BN boleh bela nasib rakyat

"Saya akan menyokong BN di DUN Perak kerana yakin parti itu boleh membela nasib semua bangsa.

"Saya akan menyokong apa sahaja keputusan BN di DUN Behrang, demi kebaikan dan faedah rakyat.

"Sebenarnya saya tak ada cadangan pun untuk sertai mana-mana parti, tapi seperti ada usaha seolah-seolah menghalau saya dari PKR, jadi saya ambil keputusan jadi calon Bebas.

"Saya tidak terus menyertai BN kerana saya tidak fikir apa yang akan berlaku, saya terkejut dengan tindakan (PKR negeri) yang dilakukan terhadap saya.

"Saya yakin dapat meneruskan tugas sebagai wakil rakyat kerana percaya para pengundi di kawasannya akan tetap menyokong saya berdasarkan perkhidmatan yang diberikan selama ini.

Mohd Osman (Changkat Jering) Bebas tapi jiwa BN

"Saya adalah ADUN Bebas tapi jiwa pada BN.

"Saya akan memainkan peranan sebagai anggota Bebas yang mesra pada BN di DUN Perak.

"Saya yakin dapat menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan lebih berkesan sebagai anggota Bebas kerana tidak dikekang oleh mana-mana parti.

"Saya juga tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain