suria

Polis tembak mati tiga anggota kumpulan samun

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki rakyat asing disyaki anggota kumpulan samun ditembak mati di Jalan Sungai Merak Luar, Bandar Baru Bangi, di Sepang hari ini.

Kejadian pada pukul 10.45 malam itu turut menyebabkan seorang lagi anggota kumpulan itu cedera.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kesemua rakyat Indonesia itu adalah anggota kumpulan Anga yang aktif menyamun di sekitar Selangor sejak setahun lepas.

"Mereka berusia antara 27 dan 44 tahun dan seorang daripada yang ditembak mati adalah ketua kumpulan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis mengekori sebuah kereta Proton Wira berwarna putih yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Kereta itu terpaksa berhenti selepas dihalang kereta polis menyebabkan empat lelaki terbabit keluar daripada kereta itu dan cuba menyerang polis menggunakan senjata tajam termasuk parang.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata berikutan itu, polis percaya dapat berjaya menyelesaikan lebih 30 kes samun di sekitar Ampang, Kajang, Gombak, Negeri Sembilan dan Johor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain