suria

Perbicaraan pemimpin Hindraf ditangguh 28 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan sehingga 28 April kes perbicaraan pemimpin pertubuhan haram Hindraf, P. Uthayakumar, yang menghadapi pertuduhan menerbitkan artikel berbentuk hasutan pada 2007.

Hakim Sabariah Othman membenarkan permohonan peguam bela M. Manogeran, yang memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang juga seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengalami bengkak pada ibu jari kaki kanannya.

"Walaupun kami bukan pakar atau doktor untuk menilainya tetapi kami melihat dengan jelas keadaan tertuduh yang teruk, dan memohon untuk menangguhkan perbicaraan dan kami bersedia untuk meneruskannya selepas tertuduh dirawat," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran tidak membantah permohonan untuk Uthayakumar mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Uthayakumar menghadapi pertuduhan menerbitkan sepucuk surat berbaur hasutan menerusi laman web http://policewatchmalaysia.com iaitu surat oleh Hindraf didakwa dialamatkan kepada Gordon Brown, Perdana Menteri Britain.

Sabariah kemudian mengarahkan Uthayakumar dihantar ke hospital kerajaan dengan kadar yang segera untuk mendapatkan rawatan sewajarnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain