suria

Polis Perak ambil sekolah bermasalah jadi "anak angkat"

IPOH: Polis Perak akan mengenal pasti sekolah-sekolah bermasalah di dalam negeri untuk dijadikan "anak angkat" dalam usaha memantapkan disiplin pelajar bagi mengelak daripada terlibat dengan kegiatan jenayah.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata kerjasama antara polis dan pasukan dan Jabatan Pelajaran serta sekolahsekolah sehingga ini berjaya mengawal pembabitan pelajar dalam kegiatan itu.

Beliau berkata sepanjang 2007, 201 pelajar di Perak ditangkap kerana terbabit dalam pelbagai kes jenayah iaitu 5.1 peratus daripada keseluruhan tangkapan.

"Bagaimanapun jumlah itu turun kepada 4.47 peratus tahun lepas apabila hanya 181 pelajar dilaporkan ditangkap," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Pengawas dan Pelancaran Program Jati Diri Peringkat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) di sini hari ini.

Zulkifli yang merupakan bekas pelajar sekolah berasrama penuh itu pada sesi pengambilan 1977, dijemput sebagai tetamu khas pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut pembabitan pelajar dalam jenayah, Zulkifli berkata antara kes yang dilaporkan membabitkan golongan ini ialah curi motosikal, pecah rumah, curi serta rogol, dan menurutnya jika dilihat berkaitan masalah penyalahgunaan dadah pula, jumlah pembabitan pelajar amat kecil sekali.

Menurutnya sepanjang 2007, 57 pelajar ditangkap kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah iaitu 0.2 peratus daripada keseluruhan tangkapan dan jumlah itu menurun pada tahun lalu dengan hanya 0.18 peratus atau 37 tangkapan.

Menurutnya 31 pelajar dikenakan tindakan kerana memandu dalam keadaan melulu dan merbahaya pada 2007 manakala 22 orang lagi ditangkap bagi kesalahan sama tahun lalu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain