suria

Sheikh Muszaphar mahu tubuh agensi angkasa Islam

KUALA LUMPUR: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, misi utama beliau pada tahun ini adalah untuk mengumpul kesemua sembilan angkasawan Islam di dunia bagi menubuhkan Agensi Angkasa Islam.

Bagi melaksanakan tujuan itu, beliau telah berjumpa dengan Putera Mahkota Saudi Arabia, Putera Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika beliau menunaikan ibadah Haji tahun lepas.

Putera Sultan ada bekas pegawai Tentera Udara Diraja Saudi yang telah bersara dan merupakan kerabat diraja pertama dari dunia Islam menjadi angkasawan.

"Saya berharap lebih ramai orang Islam menjadi angkasawan dan pakar angkasa dari dunia Islam dapat berkumpul dan menyumbang dalam bidang sains dan teknoloji," katanya kepada Bernama selepas majlis Peragaan Batik sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Galeri Seri Endon di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Sheikh Muszaphar telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau mengumpul kekayaan sehingga RM1.2 juta melalui beberapa siri ceramahnya.

Katanya, beliau kini menunggu maklum balas mengenai status kontraknya bersama kementerian berkenaan dan menafikan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

"Saya berharap akan dapat terus sambung perkhidmatan saya kepada negara dan masih bersemangat untuk berjuang bagi mempromosikan dan mempertingkatan sains dan teknologi di negara ini," katanya dengan tegas.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor didakwa mengenakan bayaran RM8,000 untuk satu jam ceramah dan telah mengumpul dana RM1.2 juta daripada 150 syarikat sekembalinya dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISs) pada Oktober tahun lepas.

Menafikan dakwaan itu, Dr Sheikh Muszaphar Shukor pernah dilaporkan sebagai berkata bahawa sebaliknya beliau hanya menerima sumbangan untuk siri ceramah tersebut. BERNAMA

Artikel Lain