suria

Shafie gesa negara-negara Komanwel kutuk tindakan Israel

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menggesa negaranegara Komanwel untuk turut serta mengecam tindakan kekejaman serangan Israel ke atas Palestin.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) berkata kecaman itu wajar dalam usaha negara untuk tidak terus melihat negara Islam itu (Palestin) daripada diperlakukan dengan kejam sehingga menyebabkan beratus nyawa terkorban.

"Selaku pengerusi CPA, saya menyeru negaranegara Komanwel untuk mengutuk tindakan Israel terhadap serangan ke atas Palestin, dan saya juga telah menghantar surat kepada negaranegara berkenaan untuk mengecam tindakan terbabit," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baru kementerian itu di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Katanya, surat yang dihantar pada 5 Jan lepas itu turut diutuskan kepada Presiden dan bakal Presiden Amerika Syarikat iaitu George W. Bush dan Barack Obama serta Perdana Menteri Britain Gordon Brown.

Mengulas mengenai sesi khas Parlimen Isnin depan mengenai isu sama, beliau turut menyambut baik perkara berkenaan. "Saya melihat langkah pendirian kerajaan dan merasakan perlunya tekanan kepada pihak bukan hanya Israel, tetapi juga kepada Amerika Syarikat kerana kita melihat perkara yang berlaku di Gaza sangat penting yang menyaksikan banyak bilangan kematian termasuk anak-anak yang tidak berdosa," katanya.

Sementara itu, dalam amanatnya pada majlis tersebut, Shafie berkata kementerian itu pada tahun ini antara lain akan mengkomersialkan seni, budaya dan warisan yang dilihat sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara.

"Industri ini telah dijadikan sebagai salah satu punca pendapatan kewangan yang lumayan bagi sesetengah negara jiran, dan saya berpendapat Malaysia juga dapat menjadikan industri ini sebagai satu industri yang boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan ekonomi kukuh di kalangan masyarakat yang mengusahakannya," katanya.

Katanya, justeru kementerian mensasarkan pendapatan seni, budaya dan warisan sebanyak RM1 bilion menjelang 2013 berikutan perkembangan persekitaran global masa kini serta kekayaan sumber budaya, seni dan warisan yang dimiliki negara.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPPIM) yang akan mengadakan kempen memboikot barangan Yahudi di Masjid Negara esok, Shafie menyifatkan tindakan tersebut perlu diteliti dan dikaji sedalamnya.

"Tindakan itu (boikot) perlu dikaji dan diteliti dari sudut tekanan ekonomi, ini disebabkan Amerika Syarikat juga merupakan rakan dagangan Malaysia, " katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain