suria

Malaysia gesa sidang khas PBB selesai konflik Palestin-Israel

PUTRAJAYA: Malaysia mahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi menyelesaikan isu kekejaman Israel terhadap Palestin, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata, Perhimpunan Agung Khas PBB itu boleh diadakan atas tujuan "perpaduan untuk keamanan"."

Sehubungan itu, Wakil Tetap Malaysia ke PBB telah diarah memulakan permuafakatan dengan Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya Persidangan Agung Khas itu dapat diadakan.

"Dunia mesti suarakan dengan tegas dan buat tuntutan dengan tegas untuk menyelesaikan isu tersebut," katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.

Beliau berkata Perhimpunan Agung Khas itu sahaja boleh mengetepikan tindakan tidak wajar Amerika Syarikat.

Israel menyerang dan menceroboh Palestin sejak minggu lepas mengakibatkan 500 orang, kebanyakannya orang awam, terkorban.

Abdullah berkata ketika Perhimpunan Agung Khas itu suara dan keputusan semua kerajaan dapat didengar dan diambil kira.

"Saya berharap Amerika Syarikat dan puak-puaknya tidak menghalang usaha untuk mengadakan Perhimpunan Agung Khas itu," katanya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat tidak menunjukkan ia satu kuasa besar yang bertanggungjawab.

"Amerika Syarikat mampu dan boleh menghentikan kekejaman itu tetapi mereka pilih cara lain," katanya.

Amerika Syarikat, katanya sepatutnya menggunakan pengaruhnya untuk mewujudkan gencatan senjata tetapi Amerika Syarikat tidak menghiraukannya, sebaliknya memberi laluan kepada Israel melakukan kekejaman ke atas Palestin.

"Lebih buruk lagi, Amerika Syarikat menggagalkan resolusi di PBB. Ini tindakan yang tidak boleh dihormati oleh masyarakat dunia," katanya.

Abdullah berkata, alasan Israel kononnya bertindak sebagai respons kepada tindakan Hamas sebenarnya ada niat lain.

"Israel seolah-olah mahu benamkan Palestin. Ada udang besar di sebalik batu," katanya.

Beliau berkata, tindakan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin tidak akan membantu memulihkan ekonomi dunia dan ia akan membawa kepada ketegangan dan krisis demi krisis.

Abdullah berkata, Malaysia mengecam habis-habisan tindakan Israel itu dan apa yang berlaku tidak dapat diterima lebihlebih lagi dalam keadaan krisis ekonomi dunia sekarang.

Dalam perkembangan lain, Abdullah mahukan kakitangan awam bersatu kerana negara memerlukan "tindakan bersama bagi tanggungjawab bersama" dalam menjamin ketahanan ekonomi negara ketika menghadapi cabaran krisis ekonomi dunia.

Beliau berkata, ketahanan ekonomi negara hanya akan dicapai melalui tindakan pemerintah dan kakitangan awam yang cekap dan berkesan dalam meransangkan lagi ekonomi negara.

"Jangan buat kerjakerja yang boleh melumpuhkan ketahanan ekonomi negara," katanya.

Kakitangan awam, kata Perdana Menteri, hendaklah menjadikan usaha untuk menjayakan ekonomi negara sebagai satu resolusi tahun baru.

Malaysia tidak mengalami kegawatan ekonomi ketika ini kerana mempunyai perbankan baik, kadar simpanan tinggi yang boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi dan perbelanjaan domestik yang masih kukuh, katanya.

Katanya perbelanjaan domestik meningkat kepada lapan peratus pada suku ketiga tahun lepas, menjadikan pertumbuhan ekonomi pada tempoh itu 4.7 peratus. BERNAMA

Artikel Lain