suria

Manika: Pilih pengganti jujur khidmat untuk masyarakat India

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, S. Manikavasagam menerima dengan hati terbuka keputusan Biro Politik parti itu malam tadi yang memutuskan untuk tidak mengambil tindakan disiplin ke atasnya.

Menurutnya, sejak dari awal isu ini timbul, beliau sudah bersedia menerima apa jua keputusan yang akan diambil kepadanya.

"Saya terima keputusan Biro Politik yang tidak mengambil sebarang tindakn disiplin terhadap saya.

"Saya sentiasa menerima dengan terbuka, kalau selepas ini mereka nak ambil tindakan... ambillah," katanya kepada mStar Online.

Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Dr. Syed Husin Ali memutuskan untuk tidak mengenakan tindakan disiplin terhadap Manikavasagam dan juga bekas Timbalan Setiausaha Agungnya, P. Jenapala mengenai isu keluar daripada parti dan dakwaan diskriminasi kaum India.

Dalam pada itu Manikavasagam berkata beliau berharap calon yang akan menggantikan tempatnya dipilih daripada kalangan kaum India yang layak dan berkaliber untuk meneruskan perjuangan.

"Berilah jawatan itu kepada orang yang layak... ada banyak calon yang layak dalam masyarakat India untuk pegang jawatan itu.

"Muka-muka baru pun ramai dan kalau boleh jangan beri kepada ahli exco kerajaan negeri yang hanya pandai ikut perintah tapi takut untuk bersuara," katanya.

Katanya lagi, beliau tidak menyesal dengan keputusan yang diambilnya untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor yang berkuat kuasa serta merta semalam.

Tambah ahli Parlimen Kapar itu, beliau kini akan menumpukan perhatian untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk meperjuangkan hak dan nasib semua kaum di kawasannya.

Beliau juga sedang dalam usaha menyiapkan kertas kerja bagi menyenaraikan masalah dan pendiriannya untuk diserahkan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang dirancang pada 15 Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain