suria

Keputusan saman fitnah Mahfuz Omar 23 Dis depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Dis bagi keputusan saman fitnah Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar terhadap Utusan Melayu Berhad dan ketua pengarang akhbar terbitan syarikat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan peguam Mohamed Hanipa Maidin, bagi pihak Mahfuz, dan M. Reza Hassan bagi kedua-dua defendan mengenai isu jumlah ganti rugi yang patut diberikan dalam kes itu.

Mohamed Hanipa dalam hujahannya berkata jumlah RM100,000 ke RM300,000 adalah jumlah ganti rugi am yang munasabah.

M.Reza pula berkata mahkamah perlu memberikan jumlah ganti rugi yang nominal dengan mengambil kira faktor karakter dan sifat peribadi Mahfuz yang dikatakan lantang dan suka bertikam lidah.

Mahfuz, selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Datuk Khalid Mohd dan penerbit akhbar harian itu Utusan Melayu Berhad sebagai defendan-defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya plaintif mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah terhadap plaintif yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Mac 2001.

Plaintif mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar daripada segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain