suria

Polis tidak perlu iringi pemimpin, kata Khalid Ibrahim

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak melihat keperluan khidmat anggota polis mengiringi pemimpin-pemimpin tertinggi di negara ini bagi menjamin keselamatan mereka ketika menghadiri majlis-majlis keramaian dan sebagainya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cadangan itu sebaliknya akan hanya menyekat kemesraan dan hubungan yang sedia terjalin antara pemimpin dengan rakyat.

"Saya rasa cadangan ini adalah satu perkara yang kita kena lihat dari sudut kerjasama antara rakyat dengan kerajaan. Kewujudan pasukan keselamatan untuk mengiringi manamana pemimpin tertentu (di majlis-majlis berkenaan) akan hanya menyekat kemesraan yang sedia ada antara kerajaan dan rakyat.

"Kita tidak mahu menjadi satu negara di mana pemimpinnya tidak boleh menghampiri rakyat disebabkan kawalan keselamatan ketat," kata Khalid kepada pemberita selepas merasmikan majlis Jualan Selangor Ria 2008 sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 serta Seminar Pembangunan Industri Halal Nasional Selangor di perkarangan Stadium Malawati dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan anggota Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei dalam laporan akhbar hari ini agar pemimpin-pemimpin tertinggi di negara ini sentiasa diiringi pasukan keselamatan bagi menjamin keselamatan mereka ketika menghadiri majlis umum. Suhaimi dilaporkan membuat cadangan berkenaan selepas mengambil kira ancaman 'serangan bogel' Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) dan mengejar Menteri Besar Selangor di majlis-majlis perasmiannya bagi membawa tuntutan mereka berhubung kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata rakyat di sekitar Selangor tidak perlu berasa cemas terhadap kualiti bekalan air yang disalurkan ke negeri ini dan menambah kualiti air berkenaan memang memenuhi standard minimum ditetapkan. Menurut beliau, kerajaan pimpinannya giat melakukan kerja-kerja pembersihan sungai dari masa ke masa bagi memastikan punca bekalan air bersih.

"Semua air-air yang disalurkan melalui sungai kena melalui 'treatment plant' supaya ia betulbetul memenuhi kualiti ditetapkan. Di Malaysia, semua bekalan air yang melalui sungai mesti melalui 'treatment plant'," kata Khalid.

Terdahulu, dalam ucapannya Khalid berkata golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini mungkin boleh mengelakkan diri daripada merasai tempias kegawatan ekonomi global sekiranya mereka meningkatkan kadar pengeluaran produk mereka. Di samping itu, beliau juga berkata golongan muda yang menyertai sektor pertanian akan berjaya sekiranya mereka bekerja sepenuh masa.

"Kajian yang kita buat menunjukkan golongan muda memang berminat menyertai sektor pertanian jika mereka tahu tentang hasil daripada kerjaya mereka.

"Umpamanya, mereka ingin tahu apakah pendapatan mereka jika bekerja sepenuh masa serta kaedah-kaedah pemasaran produk yang efektif," katanya sambil menambah golongan muda boleh meraih purata keuntungan RM3,000 sebulan jika betul-betul menceburi dalam bidang pertanian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain