suria

Politik wang: BPR serah balik Umno kes tidak cukup bukti

PETALING JAYA Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyerahkan kembali kes-kes yang didapati tidak mempunyai cukup bukti berhubung politik wang kepada Umno untuk tindakan dalaman.

Penasihat undang-undang parti itu, Datuk Mohd. Harafizam Harun berkata, bagi semua kes yang didapati telah cukup bukti untuk pendakwaan, BPR akan menghantarnya terus kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

"BPR dah siasat... mana-mana kes yang memerlukan pendakwaan di mahkamah, mereka akan terus bertindak.

"Sementara itu, mana-mana kes yang tidak cukup bukti, mereka akan majukan terus kepada Pengerusi Lembaga Disiplin (Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail) untuk pihak kita ambil tindakan susulan," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Beliau berkata, jika siasatan BPR menunjukkan wujud kes politik wang yang memerlukan pendakwaan, ia akan menjadi kes kedua bagi parti itu selepas kes pertama melibatkan Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang awal September lalu.

Mohd Nor, seorang ahli perniagaan dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua tuduhan memberi rasuah berbentuk suapan wang ringgit bagi membolehkannya dicalonkan sebagai Ketua Umno bahagian itu bagi sesi 2008 hingga 2011.

Berhubung aduan yang diterima Lembaga Disiplin setakat ini, Mohd Hafarizam berkata, pihaknya masih menerima aduan berhubung perlakuan yang menyalahi tata etika parti dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian Umno yang berlangsung bulan lalu.

"Kita masih terima aduan berhubung tata etika termasuk politik wang, pergaduhan, salah guna kuasa dan berkempen," katanya.

Beliau berkata, Lembaga Disiplin akan mengadakan sidang media pada 22 Disember ini bagi mengumumkan perkembangan terkini aduan salah laku yang diterima mereka.

"Kita akan memberitahu statistik kes yang diterima sepanjang bulan November dan Disember serta nama-nama ahli yang dikenakan tindakan termasuk digantung dan diberi amaran," katanya.

Semalam, BPR menyatakan 90 peratus aduan berhubung dakwaan rasuah dan politik wang yang diterima berkaitan pemilihan peringkat bahagian Umno telah selesai disiasat.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung aduan dan kini hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada bahagian pendakwaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain