suria

Perak guna Toyota Camry ganti Perdana V6

IPOH: Kerajaan Perak hari ini meluluskan pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang dianggap telah uzur.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat kerana kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang digunakan sekarang adalah tinggi disebabkan kenderaan itu sudah lama dan sering mengalami kerosakan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, beliau berkata, pembelian itu membabitkan perbelanjaan lebih RM2 juta.

"Tempahan sedang diusahakan manakala kereta Proton Perdana yang bermasalah itu akan dijual," katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri 13 November lepas, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional sebelum ini dilaporkan telah membelanjakan RM1.3 juta bagi kos penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi Menteri Besar serta barisan Exco Negeri Perak dari tahun 2004 hingga Mac 2008.

Mengenai satu perkara lain, Mohammad Nizar berkata, pengeluaran status hak milik tanah kekal kepada penduduk di kampung baru dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dijangka dapat dibuat sebelum 25 Disember ini.

Beliau berkata, banyak permohonan telah diterima daripada pemilik tanah untuk mendapatkan status berkenaan.

Hasrat kerajaan negeri menawarkan pertukaran status hak milik tanah daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal 999 tahun itu telah menimbulkan kontroversi kerana dikatakan melanggar peraturan dalam Kanun Tanah Negara.

Mohammad Nizar juga berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan supaya semua projek perumahan di kawasan lereng bukit di Perak dihentikan sementara sehingga pemaju mendapat pengesahan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains bahawa projek itu selamat. BERNAMA

Artikel Lain