suria

Rang undang-undang tubuh 2 suruhanjaya dibentang, permintaan Karpal ditolak

[DIKEMAS KINI, 7 petang] KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebentar tadi membentangkan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Ia akan dibacakan buat kali kedua pada sidang Parlimen kali ini juga.

Rang undang-undang itu, yang mempunyai 74 fasal dan 9 bahagian, akan menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Rang Undang-undang SPRM digubal bagi menggalakkan integriti pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab.

Ia juga dirangka untuk mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta serta komuniti.

Menurut rang undang-undang itu, SPRM akan diketuai seorang Ketua Pesuruhjaya yang akan dilantik daripada anggota perkhidmatan awam dan dinasihati oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung segala aspek masalah rasuah di Malaysia serta strategi suruhanjaya untuk membanteras gejala itu.

Seterusnya rang undang-undang itu menyenaraikan fungsi pegawai SPRM iaitu antara lain menerima dan menyiasat aduan, menasihati dan membantu orang awam mengenai caracara rasuah dihapuskan serta mendidik mereka untuk menentang amalan rasuah.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah untuk menasihati Perdana Menteri tentang masalah rasuah di Malaysia serta memeriksa dan mendapatkan penjelasan laporan oleh suruhanjaya.

Jawatankuasa Aduan juga akan ditubuhkan bagi memantau pengendalian suruhanjaya dan salah laku pegawai SPRM.

Selain itu, fasal 58 rang undang-undang SPRM juga memperuntukkan kuasa pendakwaan kes kepada Pendakwa Raya yang akan memulakan prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen.

Dalam sesi pagi tadi, Perdana Menteri turut membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu digubal bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang akan bertanggungjawab terhadap pelantikan hakimhakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara.

Rang itu yang akan dinamakan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008, mengandungi 37 fasal dan lima bahagian dan hanya akan berkuat kuasa pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Suruhanjaya itu akan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, selain dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak serta empat orang lain yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Fasal 21 rang undang-undang itu memperuntukkan fungsi suruhanjaya untuk memilih orang yang berkelayakan sebagai hakim mahkamah atasan dengan mengambil kriteria seperti integriti dan pengalaman calon dan ketegasan serta kebolehannya untuk membuat penghakiman tepat pada masanya.

Calon juga perlulah seorang yang tidak berat sebelah, adil, mempunyai peribadi moral yang baik selain mempunyai kerajinan dan kebolehan menguruskan kes dengan baik.

Terdahulu dalam sesi pembentangan itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh meminta supaya usul membincangkan perilaku Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi didengar terlebih dahulu sebelum pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 dibuat.

"Saya mohon perkara ini didahulukan dan dibincangkan sebelum Perdana Menteri membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kerana dalam rang undang-undang itu diperuntukkan ia hendaklah terdiri daripada anggota seperti berikut iaitu Ketua Hakim Negara.

"Oleh itu adalah lebih baik jika usul saya ini didahulukan," kata Karpal Singh.

Bagaimanapun permintaan itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pada 26 November lepas, Karpal, yang juga Pengerusi DAP mengemukakan notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi membincangkan perilaku Ketua Hakim Negara itu berhubung kenyataannya mengenai rasuah di kalangan kakitangan mahkamah semasa beliau menjadi peguam pada tahun 1987.

Dalam pada itu, turut dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini ialah Rang Undang-undang Pencen (Pindaan) 2008, Rang Undang-undang Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 2008, Rang Undang-undang Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2008 dan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008.

BERITA TERDAHULU

PM pengerusi mesyuarat pramajlis MP BN, taklimat tubuh SPRM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat pramajlis ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Parlimen sebentar tadi.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Bung Moktar berkata, taklimat hari ini membincangkan mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)yang akan dibentangkan hari ini.

Kata beliau, Perdana Menteri berharap semua pihak tanpa mengira parti akan menyokong penubuhan suruhanjaya berkenaan.

Pertemuan itu antara lain menyentuh tentang Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang ditubuhkan sebagai sebuah badan bebas bagi mengganti serta mengambil alih tugas Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Ia dibentangkan di Parlimen hari ini.

Difahamkan suruhanjaya yang dicadangkan akan menekankan aspek keberkesanan dan ketelusan, di samping meningkatkan persepsi masyarakat terhadap kebebasan badan itu dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

Ia berdasarkan model agensi-agensi antirasuah yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia, seperti Independent Commission On AntiCorruption (ICAC) di Hong Kong dan Independent Commission Against Corruption di New South Wales, Australia. SPRM akan menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dijangka diketuai seorang Ketua Pesuruhjaya serta dikukuhkan dengan pembentukan sebuah Lembaga Penasihat dan sebuah jawatankuasa khas mengenai rasuah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain