suria

Laporan pengganas Mumbai guna alamat Malaysia hanya dakwaan

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa pengganas yang melancarkan serangan di Mumbai minggu lalu menggunakan alamat Malaysia untuk menyewa rumah di bandar raya itu masih belum terbukti kesahihannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu hanyalah dakwaan semata-mata dan masih belum ada sebarang bukti berhubung perkara itu.

"Ini dakwaan yang belum ada bukti. Kita berhubung dengan Interpol untuk sahkan dan lepas itu, kita akan buat kenyataan susulan," katanya selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di sini, hari ini.

Najib berkata, mesyuarat lebih dua jam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu membincangkan tentang masalah jenayah dalam negara yang berkaitan dengan bidang perniagaan dan keyakinan pelancong terhadap keselamatan negara.

"Taklimat telah diberi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan telah dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Syed Hamid Albar).

"Pihak polis telah dimaklumkan oleh majlis bahawa masyarakat umumnya mengharapkan peranan polis itu dapat ditingkatkan keberkesanannya. Bukan bererti bahawa pihak polis tidak cuba bersungguh-sungguh.

"Majlis faham pihak polis telah memainkan peranan dengan serius namun masih ada perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk memperbaiki imej polis dan seterusnya menambah keyakinan rakyat terhadap polis dan keselamatan dalam negara," katanya.

Beliau berkata, persepsi dan kepercayaan rakyat terhadap pihak polis perlu ditingkatkan memandangkan statistik menunjukkan yang kadar jenayah dalam negara lebih rendah daripada Hong Kong dan Jepun serta hanya tinggi sedikit daripada Singapura jika berdasarkan kadar per kapita.

Najib berkata, dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri berkata, ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan sekurang-kurangnya lima peratus jika pertumbuhan pada suku tahun terakhir mencatat kadar minima 1.4 peratus.

"Bagaimanapun, ini tertakluk kepada dua perkara penting iaitu pertama pakej stimulus mesti dilaksanakan dengan berkesan.

"Kedua, suasana ekonomi luar tidak menjadi lebih buruk. Jika dua perkara ini berlaku, Insya Allah kita akan catat pertumbuhan 3.5 peratus pada tahun hadapan," katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat hari ini membincangkan mengenai harga minyak, Najib berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat.

Namun katanya, satu pengumuman mengenainya akan dilakukan dalam waktu terdekat.

Najib berkata, dalam mesyuarat itu juga, beliau turut membentangkan hasil Sidang Kemuncak Forum Kerjasama Ekonomi Pasifik (APEC) yang berlangsung di Lima, Peru minggu lalu.

Artikel Sebelum

Wanita BN mula mesyuarat enam jam

Artikel Lain