suria

Umno dicadang kembali kepada sistem dua pencalonan

KUALA LUMPUR: Umno dicadang supaya kembali kepada prinsip asas demokrasi bagi pemilihan jawatan dalam parti itu termasuk berbalik kepada sistem asal yang hanya memerlukan dua pencalonan untuk bertanding dalam usaha memastikan gejala politik wang dapat dibanteras.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, kaedah-kaedah dalam pemilihan termasuk sistem kuota perlu dihapuskan bagi memastikan gejala yang semakin menular di kalangan ahli itu dapat dihapuskan.

"Cara-cara yang menyebabkan politik wang perlu dihapuskan, yang menyebabkan adanya pencalonan, kuota...ini semua cara-cara yang boleh mewujudkan (politik wang).

"Mungkin kita boleh kembali kepada prinsip asas demokrasi misalnya dua pencalonan (untuk bertanding)," katanya selepas merasmikan Pameran Seni Lukis Kontemporari Antarabangsa, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin lalu bahawa usaha menghapuskan politik wang dalam Umno tidak mudah dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat serta memerlukan kekuatan politik dan komitmen yang kukuh.

Muhammad yang juga calon bagi jawatan Timbalan Presiden Umno berkata, gejala politik wang dalam parti itu perlu dikawal dan kaedah-kaedah berkesan untuk tujuan itu perlu diwujudkan.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang beliau akan mendedahkan nama-nama ahli Umno yang terbabit dalam politik wang, Muhammad berkata: "Itu kita serah kepada Jawankuasa Disiplin (Umno)".

Beliau turut enggan mengulas sama ada dakwaan Dr Mahathir sebelum ini bahawa wujud politik wang bagi pemilihan calon Timbalan Presiden akan menjejaskan peluang mana-mana calon jawatan tersebut dalam meraih undi pada pemilihan Mac depan.

Semalam, Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan mendedahkannya senarai nama pemimpin UMNO yang terlibat dengan politik wang kepada umum jika Lembaga Disiplin UMNO tidak mengambil sebarang tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Bagaimanapun, beliau mahu memastikan dengan tepat senarai nama tersebu sebelum mendedahkannya.

Dr Mahathir juga sebelum ini pernah mendakwa bahawa beliau percaya kemungkinan besar wujud politik wang dalam pemilihan calon Timbalan Presiden Umno kerana katanya, calon yang pada mulanya jauh ketinggalan dari segi pencalonan secara tiba-tiba melonjak naik dan seterusnya berjaya tercalon bagi jawatan itu.

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain