suria

Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup keluar 1615kg minyak masak

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup keluar 1,615 kg minyak masak ke negara jiran di kawasan tiga batu nautika dari pantai dekat sini malam tadi.

Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Ahmad Fuzi Ab Kahar berkata minyak masak seberat 1kg setiap paket bercap "Rusa Terbang" itu dirampas dari sebuah bot yang dipercayai dalam perjalanan ke negara jiran, pukul 8 malam tadi.

"Lima lelaki berumur 22 hingga 39 tahun turun ditahan selepas bot mereka berjaya dikejar. Mereka akan disiasat di bawah Akta Kastam 1965," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kursus mencari dan menyelamat (SAREX) pertama di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fuzi bot dari negara jiran itu mamatikan lampu di bot mereka setelah menyedari kehadiran kapal APMM sebelum memecut untuk cuba melarikan diri.

"Kecanggihan peralatan kapal APMM berjaya mengesat bot berkenaan walaupun dalam keadaan gelap," katanya.

Ketika diperiksa, anggota APMM menemui minyak tersebut di dasar perut bot yang dalam timbunan barang lain.

"Minyak masak yang berlogo 'Rusa Terbang, yang tertera perkataan 'untuk kegunaan isi rumah sahaja', tidak boleh dieksport," kata Ahmad Fuzi.

Katanya minyak masak dalam paket yang disimpan dalam kotak berkenaan telah dicampur dengan minyak masak yang boleh diekspot.

Pada 17 Okt lalu, APMM juga berjaya merampas kira-kira 3,000 paket minyak masak dengan setiap paket seberat 1kg.

Ahmad Fuzi juga berkata setakat bulan ini, APMM sudah melakukan 830 pemeriksaan di laut dan daripada jumlah itu pihaknya mengesan 85 kes penyeludupan berbanding 675 pemeriksaan dengan 109 kes penyeludupan sepanjang tahun lalu.

Katanya kejayaan itu adalah hasil maklumat dan kerjasama yang diberikan oleh orang ramai kepada APMM. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain