suria

Lapangan terbang Thailand terus ditutup

BANGKOK: Lapangan Terbang Suvarnabhumi hari ini terus ditutup menyebabkan berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan berikutan pemprotes anti-kerajaan menyekat semua jalan menuju ke pintu utama negara itu.

Lapangan Terbang Thailand (AOT) sebelum itu menyatakan bahawa lapangan terbang itu akan dibuka pada tengah hari tetapi tidak dapat dilakukan kerana penyokong antikerajaan tersebut telah mengambil alih lapangan terbang berkenaan.

Penyokong Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) telah mengisytiharkan hasrat mereka untuk menutup lapangan terbang itu sehingga Perdana Menteri Somchai Wongsawat meletak jawatan.

Beliau dijangka pulang dari Peru hari ini setelah menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Lima.

Bagaimanapun pesawat yang membawa beliau pulang dilencongkan ke Chiang Mai.

Ketika beribu-ribu penyokong PAD masih berada di dalam dan luar terminal penumpang, beberapa pemprotes dilihat cuba memasuki radio aeronautikal dan menara kawalan trafik udara sementara satu lagi kumpulan sedang menuju ke kawasan menempatkan pesawat.

Walaupun pihak berkuasa Thai memberikan jaminan keselamatan kepada lebih 3,000 penumpang yang terkandas di lapangan terbang itu, tetapi kelihatan hanya segelintir anggota polis.

Bagaimanapun, pihak berkuasa lapangan terbang menyatakan bahawa sebuah pesawat Iranian Airline yang membawa 416 Muslim Thai ke Mekah untuk menunaikan haji dibenarkan berlepas.

Lapangan terbang itu ditutup pada pukul 9 malam tadi bagi penerbangan keluar sementara ada beberapa penerbangan yang sepatutnya mendarat dilencongkan ke lapangan terbang antarabangsa lain di negera ini serta Lapangan Terbang Utapao di Chun Buri.

Salah sebuah pesawat yang dilencongkan itu ialah Indian Airline yang mendarat di Lapangan Terbang Utapao tetapi penumpangnya terkandas kerana tidak ada kemudahan untuk menempatkan penumpang asing.

Antara penerbangan yang dibatalkan ialah empat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Kuala Lumpur, serta tujuh penerbangan Air Asia juga ke Kuala Lumpur, dan beberapa lagi ke Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Pengurus Kawasan MAS bagi Thailand, A.Vijayakumaran berkata penumpang dengan tiket Bangkok-Kuala Lumpur boleh menggunakan tiket itu untuk berlepas dari Phuket.

Beliau berkata syarikat penerbangan juga menubuhkan pusat krisis kecemasan di mana penumpang boleh menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan terkini dengan menelefon 662263056571 atau 6621343184. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain