suria

Pemuda cedera diserang sekumpulan lelaki meninggal dunia malam tadi

MUAR:Seorang pemuda yang cedera parah akibat diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan pedang dan kayu di hadapan kedai buku di Jalan Abdullah di sini dua hari lepas, meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohd Nasir Ramli berkata Farhan Hussein, 27, yang sepatutnya melangsungkan pertunangan Sabtu ini, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pada 9.15 malam.

"Berikutan dengan kematian itu, enam orang berusia 21 hingga 28 tahun yang diberkas di Malim dan Bachang, Melaka, pagi semalam kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya.

Sebelum ini, mereka disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyerang mangsa dengan menggunakan senjata bahaya.

Beliau berkata motif pembunuhan tersebut dipercayai ada kaitan dengan perebutan gadis yang bakal menjadi tunang Farhan. BERNAMA

Artikel Lain