suria

Pemuda diserang sekumpulan lelaki

MUAR: Seorang pemuda yang bakal melangsungkan pertunangan Sabtu ini cedera parah apabila diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan pedang dan kayu di hadapan sebuah kedai buku di Jalan Abdullah, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohd Nasir Ramli berkata Farhan Hussein, 27, dari Jalan Salleh di sini mengalami pendarahan otak selepas diserang dalam kejadian kira-kira 7.40 malam.

Beliau berkata Farhan terjatuh di seberang jalan selepas dipercayai terkena hentakan benda keras di bahagian belakang kepala semasa dia cuba melarikan diri.

Kumpulan dipercayai lima hingga enam lelaki yang menyerang Farhan itu sempat memecahkan cermin depan, belakang dan sebelah kanan keretanya sebelum melarikan diri, katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata siasatan awal mempercayai motif kejadian disebabkan berlaku salah faham antara Farhan dengan kumpulan lelaki itu berkaitan bakal tunangnya.

Beliau berkata polis menemui sebilah pedang di tempat kejadian dan Farhan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, sejurus kejadian sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu untuk rawatan lanjut.

Sepasukan anggota polis Muar dengan bantuan Polis Kontinjen Melaka yang melancarkan gerakan di kawasan Malim dan Bachang, Melaka tengah malam hingga pagi ini berjaya memberkas enam pemuda berusia 21 hingga 28 tahun yang disyaki terlibat dalam serangan tersebut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang dengan senjata dan polis telah mendapat perintah Mahkamah Majistret Muar untuk menahan reman kesemua lelaki itu bagi membantu siasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain