suria

Ketua Pemuda DAP tidak pertahan jawatan

IPOH: Ketua Pemuda DAP Nga Kor Ming yang juga anggota exco Kerajaan Negeri Perak hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan sayap parti itu 6 Disember ini.

"Ini merupakan masa terbaik untuk saya melepaskan jawatan...banyak kejayaan yang telah Pemuda DAP kecapi sejak saya berada di sayap ini pada tahun 2003," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini hari ini.

Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Remis turut memegang jawatan sebagai Naib Bendahari DAP dan Setiausaha DAP Perak.

Nga berkata masanya adalah sangat sesuai bagi beliau menyerahkan kepimpinan kerana kedudukan sayap berkenaan begitu stabil dan banyak barisan pemimpin yang mampu menggalas cabaran untuk menerajui sayap itu.

"Pemuda DAP tiada sebarang tanggungan hutang dan prestasi semua calon berada di tahap yang terbaik...(lepas jawatan) bukan kerana faktor usia. Umur saya 36 tahun dan had umur maksimum adalah 40 tahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri menyangkal laporan sebuah akhbar semalam bahawa cadangan lawatan rombongan Ahli Majlis Daerah Teluk Intan ke Langkawi akan melibatkan kos sebanyak RM50,000.

"(Sebenarnya) Kerajaan Negeri telah mengarahkan lawatan itu dibatal kerana merugikan peruntukan yang boleh diguna untuk pembangunan...tetapi perbelanjaan itu hanya RM23,000 dan bukanlah seperti yang disiarkan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain