suria

Sindiket VCD dan DVD cetak rompak di Pahang tumpas

MARAN: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak di Pahang dengan tertangkapnya 14 anggota sindiket dalam dua operasi berasingan di sini dan Kuantan sejak Rabu lepas.

Sindiket dari Lembah Klang itu dipercayai baru sebulan memulakan kegiatan mereka di negeri itu apabila tiga anggota sindiket berkenaan ditahan ketika menjual barangan tersebut di tapak pasar malam di Pekan Sri Jaya di sini pada pukul 9.30 malam Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Ahmad Johari Shahabudin hari ini berkata ketigatiga lelaki berusia antara 28 dan 35 tahun itu ditahan bersama 1,112 keping VCD dan DVD cetak rompak serta wang tunai RM789 dipercayai hasil penjualan cakera tersebut.

Berikutan siasatan susulan, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Tanah Putih, Kuantan, pada pukul 3 pagi semalam dan menahan 11 lagi anggota kumpulan itu dan merampas 1,315 keping VCD dan DVD cetak rompak.

"Kumpulan lelaki dalam serbuan kedua itu berusia 25 hingga 57 tahun termasuk seorang warga China," katanya.

Ahmad Johari berkata kesemua VCD dan DVD cetak rompak yang berjaya dirampas dari keduadua lokasi itu dianggarkan bernilai hampir RM20,000.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, kesemua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor itu dipercayai tinggal bersama di rumah sewa berkenaan sejak sebulan lepas sebelum bergerak ke beberapa lokasi sasaran. Katanya kesemu suspek berkenaan ditahan mengikut Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002.

Orang ramai, katanya, boleh terus membantu polis dalam membanteras kegiatan penjualan DVD dan VCD cetak rompak dengan menyalurkan maklumat menerusi hotline IPD Maran di talian 09-4772999. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain