suria

Ka Chuan serah surat letak jawatan menteri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, kata seorang pembantu kepada Ka Chuan hari ini.

Sumber itu memberitahu Bernama, Ka Chuan menyerahkan "surat peletakan jawatan tanpa tarikh" ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti pada 18 Okt. Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

"Ya, beliau (Ka Chuan) ada menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Datuk Seri Ong (Tee Keat). Itu saja yang boleh saya katakan," kata pembantu itu sebelum menamatkan perbualan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mengikut prosedur, seseorang menteri perlu mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.

Abdullah sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Uzbekistan dan Turkmenistan.

Sumber parti memberitahu Bernama, Ka Chuan memutuskan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Tee Keat terlebih dahulu untuk membolehkan presiden parti mencadangkan pengganti bagi jawatan dalam Kabinet di samping jawatan lain.

Bagaimanapun Ka Chuan kini berada di Tehran sejak Isnin lalu untuk melakukan lawatan rasmi selama seminggu dan dijangka pulang ke Malaysia hujung minggu ini.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini tetap enggan mengesahkan atau menafikan sama ada telah menerima surat peletakan jawatan daripada Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai apa yang saya telah katakan semalam," kata Menteri Pengangkutan itu apabila ditanya pemberita sama ada telah menerima surat itu.

Tee Keat berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan MIRC Ingenious Capital Partners Sdn Bhd (MICP) and Technopreneur Venture Management Fund di sini hari ini.

Tee Keat semalam enggan mengulas mengenai peletakan jawatan Ka Chuan. Ka Chuan pula dilaporkan media telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Tee Keat berikutan kekalahannya dalam pemilihan parti pada 18 Oktober.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden dengan majoriti 114 undi. Mengenai ura-ura penubuhan Jawatankuasa Veteran MCA seperti yang dilaporkan media sebelum ini, Tee Keat berkata:"Saya belum lagi buat sebarang keputusan. Jauh sekali buat pengumuman. Manamana pihak bebas membuat sebarang spekulasi."

Sementara itu Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana menganggap ia sebagai khabar angin.

"Saya tak akan bagi sebarang komen bagi sesuatu berita yang dianggap cuma khabar angin atau spekulasi dan tak ada pengesahan," katanya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui rakannya bahawa ada laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan.

Jawatan Ka Chuan sebagai Pengerusi MCA Perak sebelum ini telah digantikan oleh Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha yang disebut-sebut akan dicadangkan untuk menjawat jawatan menteri.

Ka Chuan berkhidmat sebagai menteri kira-kira tujuh bulan sebelum kekalahannya kepada Soi Lek bulan lepas.

Dalam pemilihan MCA itu uga, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung kalah dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden manakala Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Teng Boon Soon turut gagal mendapat tempat dalam jawatankuasa pusat.

Artikel Lain