suria

Anak Keng Yaik Kerjaya politik saya tidak dipengaruhi ayah saya

DI mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah pepatah yang begitu kena dengan Lim Si Pin, 39, anak kepada bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik.

Kemenangannya sebagai Ketua Pemuda Gerakan pada 10 Oktober lalu memberi nafas baru kepada sayap muda parti itu.

Setelah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda selama satu penggal, Si Pin mahu maju setapak lagi. Walaupun tidak mendapat galakan daripada bapanya untuk menceburi bidang politik sejak daripada awal lagi, namun atas minat dan kepercayaan yang diberi, Si Pin kini adalah teraju golongan pemuda dalam parti itu untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai Gerakan yang mempunyai ideologi parti berbilang kaum itu.

mStar Online baru-baru ini berpeluang menemu ramah beliau yang juga seorang ahli perniagaan, di pejabatnya di ibu negara.

MENCEBURI POLITIK

MSTAR ONLINE: Sejak bila saudara mula menceburkan diri dalam bidang politik?

SI PIN Saya menyertai politik sejak 12 tahun dulu iaitu pada tahun 1996 sebagai ahli biasa dalam parti Gerakan. Orang yang meminta saya menyertai Gerakan adalah Pengerusi Parti Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada masa itu iaitu Chuan Chong Han. Beliaulah yang memberi ilham kepada kami, golongan muda untuk menyertai Gerakan. Selama dua tahun saya menjadi ahli biasa. Walaupun tidak aktif tetapi jika parti mengadakan forum atau sebarang kegiatan, saya akan memberi kerjasama kepada ahli jawatankuasa parti.

MSTAR ONLINE: Adakah penglibatan saudara dalam bidang politik mendapat galakan dari bapa saudara?

SI PIN Tiada langsung (galakan). Beliau berkata, kalau boleh jangan ceburkan diri (dalam politik).

MSTAR ONLINE: Bagaimana timbul hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda?

SI PIN Ia timbul setelah saya pergi ke serata negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada semua Ketua Pemuda negeri. Mereka berkata, inilah masanya (untuk bertanding) kerana saya sudah pun melibatkan diri dengan Pemuda selama tiga penggal. Mereka tahu apa yang saya boleh sumbang kepada Pemuda dan Gerakan. Jadi, atas galakan mereka, saya pun menawarkan diri. Sebelum ini, saya telah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda selama satu penggal.

KEJAYAAN DIPILIH KETUA PEMUDA

MSTAR ONLINE: Bagaimana perasaan apabila diumumkan memenangi jawatan tersebut dan adakah saudara menyangka kemenangan itu?

SI PIN Pada mulanya, saya tidak sangka boleh menang tapi saya berterima kasih kepada semua yang memilih saya. Saya harap saya boleh teruskan perjuangan mereka dan dapat menunaikan harapan mereka.

MSTAR ONLINE: Bagaimana saudara melihat dua lagi saingan saudara untuk jawatan itu?

SI PIN Kedua-dua saingan itu pun adalah kawan baik saya kerana saya telah mengenali mereka lebih lima tahun. Kali ini, mereka turut bertanding jawatan Ketua Pemuda, bukan dengan niat tidak baik tetapi untuk memastikan pergerakan Pemuda masih aktif dan mempunyai harapan. Pada saya, ia merupakan satu pertandingan yang adil.

MSTAR ONLINE: Setelah menjawat jawatan tersebut , apakah misi serta perubahan yang ingin saudara bawa:

SI PIN Seperti yang dikemukakan dalam manifesto saya, saya mempunyai tiga misi untuk tiga tahun akan datang. Pertama, untuk menjadikan Pemuda Gerakan sebagai organisasi pertama di negara ini yang mendapat sijil ISO 9001:2000. Dengan adanya sijil ini, kita boleh memastikan pencapaian Pemuda dicatatkan dalam setiap langkah yang diambil.

Kedua, untuk membangunkan Kelab Anak Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2000 untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai kelab. Saya ingin membangunkan 100 peratus keahliannya. Selepas pilihan raya umum pada Mac lalu, mereka sudah sedar apa itu politik tetapi kesedaran itu masih belum mendalam.

Jadi dengan adanya Kelab Anak Malaysia, kita harap melalui saluran bukan politik ini, kita boleh melatih segolongan anak Malaysia yang percaya dengan perjuangan kami sebagai satu bangsa, bukan hanya pada satu-satu kaum. Ini bermakna integriti bangsa adalah misi terpenting kami untuk memupuk semangat sebagai seorang rakyat Malaysia, bukan sebagai seorang Melayu, Cina atau India.

MASA DEPAN PEMUDA

MSTAR ONLINE: Bagaimana saudara melihat kepimpinan Pemuda yang baru?

SI PIN Saya amat berbangga dengan kepimpinan baru Pemuda ini kerana mereka telah dipilih oleh akar umbi. Walaupun kebanyakan daripada mereka adalah kaum Cina tetapi ada juga yang dpilih daripada kaum India dan Melayu. Bagaimanapun, saya kerap menyatakan walaupun parti kita adalah daripada berbilang kaum tetapi tidak semuanya mesti mengikut nisbah penduduk Malaysia, maknanya dari golongan pemimpin enam dari 10 adalah Melayu, tiga adalah Cina dan seorang adalah Melayu.

Kita galakkan dari golongan pemimpin itu sendiri, siapa pemimpin yang boleh memastikan kepimpinan mereka dipersetujui oleh semua, mereka boleh dipilih sebagai pemimpin. Tetapi setelah terpilih, mereka perlu membuka hati mereka mesti membuka hati mereka supaya setiap kali timbul masalah yang dihadapi segolongan rakyat Malaysia, kita mesti menghadapi masalah itu dengan strategi atau falsafah berbilang kaum. Itu yang penting.

Walaupun pemimpin itu Cina tetapi apabila timbul masalah daripada golongan Melayu, mereka mesti turun padang dan menyelesaikan masalah itu sebagai seorang Malaysia, bukan sebagai seorang Cina. Maknanya dari segi masalah lain-lain kaum, kita mesti menyelesaikannya dengan sikap yang sama.

MSTAR ONLINE: Bagaimana pula saudara melihat kepimpinan baru bagi badan induk Gerakan?

SI PIN Dalam badan induk, terdapat juga kaum lain yang dipilih. Pada saya, pilihan akar umbi adalah muktamad. Itu adalah pilihan terbaik daripada akar umbi. Walaupun kita telah cuba tapi angin perubahan itu belum kuat lagi. Bagaimanapun, kita sedar kita sedang menuju perubahan yang agak pesat tapi kita akan cuba lagi untuk mengubah representasi dalam pucuk pimpinan.

PELBAGAI KAUM

MSTAR ONLINE: Mampukah kepimpinan baru Pemuda menarik lebih ramai lagi golongan muda daripada pelbagi kaum?

SI PIN Seperti saya kata tadi khasnya selepas Mac2008, persepsi golongan pemuda ke atas isu-isu politik menjadi lebih mendalam. Jadi atas kesedaran itu, kami pun akan merekrut lebih ramai lagi menyertai Gerakan.

Masih ramai lagi golongan muda yang tidak mahu menyertai parti poltik kerana kadangkala mereka melihat politik sebagai satu kegiatan yang mereka tidak faham sepenuhnya atau agak kotor atau melibatkan wang dan lain-lain. Misi Gerakan adalah untuk menarik golongan ini supaya mereka menumpukan kepada isu ekonomi, sosial dan persekitaran. Selepas mereka memberi tumpuan kepada isu-isu tersebut, jika mereka merasakan mereka boleh meluangkan sedikit masa untuk kegiatan politik, kita akan menjemput mereka menyertai Pemuda Gerakan atau lain-lain komponen Barisan Nasional (BN). Ini bermakna, mereka melakukan sesuatu mengikut kesukaan mereka. Bukan semuanya menyukai politik,ada yang sukakan kegiatan sosial.

Saya sudah memulakan jelajah ke seluruh negara untuk tujuan itu dan ia memang tugas saya sebagai Ketua Pemuda Gerakan.

KERJASAMA KOMPONEN BN

MSTAR ONLINE: Bagaimana saudara melihat kerjasama antara Pemuda Gerakan dengan sayap Pemuda parti-parti komponen BN?

SI PIN Sejak Pemuda Gerakan menyertai komponen BN sejak tahun 1984, kita kerap memberi tumpuan kepada BN. Hubungan kami dengan Ketua Pemuda BN iaitu Datuk Seri Hisahmmuddin Tun Hussein adalah baik. Walaupun kadangkala ada sedikit perbezaan persefahaman tapi itu tidak menjadi penghalang (untuk bekerjasama).

MSTAR ONLINE: Adakah wujud kerjasama untuk meraih kembali kepercayaan terhadap BN selepas prestasi yang agak teruk selepas pilihan raya umum lalu?

SI PIN Itu merupakan satu daripada misi iaitu untuk membaik pulih keyakinan bukan sahaja terhadap BN tetapi semua parti komponen. Mana-mana negara di dunia ini ada kelemahan. Selepas 51 tahun memimpin negara, kelemahan (BN) itu dapat dilihat hari ini.

Bukan semua golongan kaum di Malaysia dapat menikmati kebaikan, jadi kami daripada Pemuda BN perlu menemui masyarakat untuk memahami kelemahan sistem pemerintahan sebelum kita tahu apa yang mesti kita buat untuk membaik pulih kerajaan.

SUARA LANTANG

MSTAR ONLINE: Kita dapat lihat bahawa Pemuda Umno agak lantang dalam menyuarakan pandangan mereka. Bagaimana pula dengan Pemuda Gerakan?

SI PIN Mungkin kita tidak biasa mengeluarkan kenyataan kepada media berbahasa Melayu tetapi bagi media berbahasa Inggeris dan Cina, kita selalu mengeluarkan kenyataan bagi kebanyakan isu contohnya dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), kemiskinan kaum India, isu Hindraf supaya tahanannya dilepaskan dan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Kita selalu mengeluarkan pandangan supaya BN dapat mendengar hasrat kita iaitu menubuhkan sebuah negara yang adil dan saksama, bukan setakat cakap sahaja tapi ia mesti dilaksanakan.

MSTAR ONLINE: Walaupun ideologi Gerakan adalah berbilang kaum tetapi kepimpinan yang baru ini tidak mencerminkan ideologi tersebut. Apa pandangan saudara?

SI PIN Walaupun keputusan pemilihan pada kali ini lebih kurang sama (dengan sebelum ini) tetapi dari segi undi yang diperolehi oleh calon daripada kaum Melayu dan India pada kali ini adalah lebih baik berbanding. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membolehkan mereka dipilih dalam kepimpinan. Ini bermakna arus perubahan itu telah pun bermula tetapi tidak cukup lagi untuk memasukkan mereka (ke dalam kepimpinan). Justeru, saya galakkan semua calon yang bertanding pada kali ini untuk mencuba dengan lebih lagi pada pemilihan akan datang. Kalau mereka giat dalam parti, dalam tiga tahun akan datang, mereka akan dipilih.

GERAKAN PARTI PELBAGAI KAUM

MSTAR ONLINE: Pada pandangan saudara, berapa lamakah masa yang diambil untuk merealisasikan Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum?

SI PIN Hanya selepas Mac 2008, baru kita sedar yang orang di luar parti ingin melihat kepimpinan yang berbilang kaum. Walaupun itu hasrat kita namun arus perubahan mesti mengambil masa. Seperti sebuah kapal layar, kalau mahu berpatah balik, ia mesti mengambil masa sebelum dapat berpusing, bukan seperti bot laju. Justeru, saya mengambil metafora itu untuk menunjukkan bahawa Gerakan bukan parti saya dan rakan-rakan saya sebaliknya milik 200,000 lagi ahli dan mereka percaya bahawa perubahan itu penting. Berilaha masa antara dua hingga tiga tahun untuk memastikan Gerakan terus hidup sebagai sebuah parti. Kita mesti berubah dengan lebih pesat berbanding parti-parti lain.

MSTAR ONLINE: Selepas kekalahan dalam pilihan raya lalu, Gerakan dilihat lebih lantang dalam menyuarakan pandangan berbanding sebelum itu. Apa pandangan saudara?

SI PIN Mungkin sejak dulu kita percaya terhadap keharmonian dalam BN. Walaupun kita masih dalam satu parti tetapi kita mesti mendengar dan mendekati suara yang memilih iaitu pengundi. Walaupun dulu kita sudah lantang tapi kini kita mesti lebih kuat lagi. Ya, kekalahan adalah satu kejutan terbesar kita tetapi setelah mendengar suara pengundi yang menyokong, kita mesti menyuarakan apa yang kita mahu kerajaan lakukan.

MSTAR ONLINE: Tidakkah kelantangan itu menjadi modal kepada pembangkang bahawa BN sendiri tidak harmoni?

SI PIN Dari segi pembangkang, mereka mahu mengeluarkan khabar-khabar angin supaya mereka dapat divide and rule terhadap parti-parti komponen BN. Jadi, janganlah kita melangkah ke dalam perangkap mereka.

Walaupun kita lantang dalam bersuara tetapi ini tidak bermaksud kita tidak harmoni. Apabila kita di dalam MT (Majlis Tertinggi BN), apa yang mesti dibincang telah dibincang tetapi dari segi cara kita mahu menyuarakannya, mungkin ada yang agresif dan ada yang kurang agresif. Itu cara masing-masing.

PERANAN PEMBANGKANG

MSTAR ONLINE: Bagaimana pula dengan tindakan pembangkang yang pernah menawarkan Gerakan menyertai mereka?

SI PIN Pertama sekali, kita tidak akan keluar daripada BN. Kedua, kalau katakan kita keluar sekali pun, kita tidak akan menyertai Pakatan Rakyat kerana itu bukan perjuangan kita. Kita akan menjadi parti yang bebas tapi itu tidak bermaksud kita bertentangan dengan BN. Kita mungkin menjadi satu parti yang middle ground, bukan bertentangan. Bagaimanapun, pada masa ini, kita akan menjadi sebuah parti yang kuat dalam BN.

MSTAR ONLINE: Saudara mengatakan pada masa ini, Gerakan masih dalam BN. Mungkinkah akan berlaku ketidak sehaluan di masa akan datang:

SI PIN Pada saya, yang penting adalah persefahaman yang lebih mendalam antara kami, parti komponen. Pada masa ini (persefahaman) masih baik tapi baik saja tidak cukup. Kita mesti memastikan talian persefahaman lebih mendalam lagi kerana pada masa krisis seperti ini, kita tidak boleh menimbulkan sedikit pun perselisihan faham. Hal ini tidak baik kerana ia sedikit demi sedikit akan menimbulkan perasasan tidak puas hati. Jika menjadi besar, ia akan memberi kesan tidak baik kepada parti seperti apa yang terjadi kepada sebuah parti di Sabah (merujuk kepada Parti Maju Sabah (SAPP)). Bukan sebab apa-apa tetapi kerana sedikit tidak puas hati, mereka meninggalkan BN. Pada saya, itu tidak baik.

MSTAR ONLINE: Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat setiap bulan. Bagaimana pula dengan Pemuda BN:

SI PIN Struktur yang sama juga berlaku. Perjumpaan itu kerap juga tetapi ia tidak tetap dan terpulang kepada Ketua Pemuda BN.

MSTAR ONLINE: Adakah ia perlu dilakukan dengan lebih kerap:

SI PIN Ya, ia patut lebih kerap dan lebih banyak masa yang mesti diberikan untuk menyelesaikan isu-isu penting, bukan hanya berbincang mengenai kegiatan. Tidak buat kegiatan pun tidak mengapa tetapi isu yang melibatkan kaum-kaum mesti dibincangkan dengan mendalam. Itu tidak biasa (dilakukan). Jadi, saya rasa dengan adanya pemilihan Pemuda Umno yang baru nanti, Ketua Pemuda yang baru yang dipilih itu nanti diharap boleh mengendalikan MT Pemuda BN dengan lebih kerap.

MSTAR ONLINE: Apa pandangan saudara berhubung kenyataan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe berhubung isu kedudukan Melayu di negara ini?

SI PIN Pertama sekali, ini adalah masa pemilihan Umno dan pandangan saya, kebanyakan ahli politik dalam Umno menggunakan isu ini untuk meningkatkan populariti. Kedua, apa yang disebut oleh Datuk Tan adalah pandangan beliau sendiri yang disuarakan dalam perhimpunan agung parti. Kalau sebagai Ketua Wanita, beliau tidak berhak bercakap dengan bebas, jadi bila beliau boleh bercakap dengan bebas? Itu adalah perhimpunan perwakilan kami. Beliau bercakap kepada semua ahli parti kita, bukan bercakap di Parlimen atau bagi pihak kementeriannya. Pada masa itu, beliau berhak bercakap sebagai Ketua Wanita.

IMPLIKASI PEMILIHAN 9 OKTOBER

MSTAR ONLINE: Melalui Persidangan Pemuda Gerakan Kebangsaan yang diadakan pada 9 Oktober lalu, apa yang dapat saudara rumuskan?

SI PIN Sebagai Pemuda, kita mesti memesatkan arus perubahan dari segi struktur kepimpinan Gerakan. Kita akan selesaikan hal ini pada tahun yang akan datang. Saya akan menjemput lebih ramai lagi orang awam yang percaya terhadap perjuangan berbilang kaum kami untuk menyertai bidang politik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain