suria

Kes Nirmala Bonat: Mahkamah umum keputusan 27 November ini

KUALA LUMPUR:Nasib bekas pramugari syarikat penerbangan sama ada dia akan dipenjara atau dibebaskan kerana mendera pembantu rumahnya empat tahun lalu akan diputuskan oleh mahkamah pada 27 November ini.

Hakim Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu bagi membuat keputusannya selepas mendengar hujah pada akhir kes pembelaan hari ini daripada peguam bela Jagjit Singh dan Akbardin Abd Kader bagi tertuduh Yim Pek Ha dengan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran.

Yim menghadapi tiga tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Nirmala Bonat dengan menggunakan seterika panas dan air panas di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Beliau juga menghadapi tuduhan keempat menyebabkan kecederaan teruk ke atas pembantu rumah itu dengan menggunakan cawan logam pada 17 Mei 2005.

Pada 3 Jan tahun ini, Yim, seorang suri rumah dan ibu kepada empat anak telah dipanggil untuk membela diri. Hujah bagi pembelaannya dibuat oleh dua peguam belanya semalam. Dalam hujah pendakwaan hari ini, mahkamah diberitahu bahawa Yim adalah satusatunya individu yang didakwa mendera Nirmala menggunakan seterika panas, air panas dan cawan logam menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk pada payu daranya, paha dan belakang.

Raja Rozela berkata tiada bukti bagi mencadangkan bahawa mangsa didera oleh orang lain memandangkan Yim adalah satusatunya individu yang sentiasa berhubung dengan Nirmala di rumah semasa kejadian itu.

"Tertuduh adalah satusatunya individu yang menyebabkan kecederaan ke atas Nirmala. Beliau seorang yang konsisten tentang ini, beliau menuding jarinya kepada tertuduh, kerana tertuduh merupakan orang yang memudaratkannya dan kejadian dera itu berlaku semasa tertuduh berada di rumah bersamanya," kata Raja Rozela.

Beliau berkata tiada bukti dikemukakan bagi mencadangkan bahawa Nirmala tinggal di tempat lain atau mempunyai hubungan dengan orang lain lain semasa bekerja dengan Yim. Raja Rozela berkata oleh itu hujah pembelaan "saya bersumpah ia bukan saya" hanya sematamata penafian dan ia tidak cukup bagi menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan. Tambahan pula, beliau berkata Yim begitu marah dengan Nirmala dan memarahinya untuk pelbagai sebab; daripada berbau busuk sehingga kepada tidak menjalankan kerjakerja rumah dengan sempurna.

Menjawab dakwaan pembela bahawa kecederaan Normala itu dilakukannya sendiri, Raja Rozela berkata tiada seorangpun yang nampak Nirmala melakukannya dan mangsa tidak mempunyai sebab apapun untuk mendatangkan kecederaan itu ke atas dirinya.

Beliau juga menjawab dakwaan pembela mengenai Nirmala yang berkelakuan aneh seperti menghantuk kepalanya ke dinding, mencakar mukanya, tidur berbogel dan menggigit bibirnya sehingga berdarah.

"Ianya melangkaui pengertian bahawa seorang majikan akan hanya duduk dan melihat pembantu rumah itu menunjukkan perangai sedemikian seperti yang didakwa dan tidak berbuat sesuatu untuk menghalangnya.

"Tidak masuk akal bagi majikan yang tidak berfikir dua kali untuk menyimpan Nirmala memandangkan ia mungkin tidak selamat mempunyai pembantu seperti itu dan tinggal sebumbung pula dengan anakanak kecil," katanya.

Bagi tiga tuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, Yim yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu, boleh dipenjara 20 tahun dan didenda dan dirotan.

Bagi tuduhan keempat, dia dituduh mengikut Seksyen 325 akta yang sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain