suria

Khairy jumpa Hishammuddin jelaskan syor debat terbuka

PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau akan berjumpa dengan ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat berhubung cadangannya diadakan debat terbuka bagi calon-calon yang akan bertanding merebut jawatan ketua pergerakan itu.

Khairy berkata beliau akan berjumpa dengan Hishammuddin untuk menjelaskan mengenai cadangan yang dikemukakan beliau itu di samping meminta restu daripadanya.

"Saya hormat (Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein sebagai Ketua Pemuda dan sedar semua ini merupakan prosedurnya. Debat terbuka itu merupakan cadangan peribadi saya.

"Saya akan jumpa beliau dalam masa terdekat untuk jelaskan mengenai cadangan itu dan minta restu. Terserah kepada beliau untuk teruskan (cadangan debat) atau tidak," katanya ketika ditemui pada forum "Dialog BaratIslam: Kedudukan Kita dan Hala Tuju Kita" di International Institute of Advance Islamic Studies (IAIs) Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Hishammuddin mahu anggota pergerakan itu merujuk kepadanya terlebih dahulu berhubung isu debat antara calon ketua sayap kanan parti berkenaan kerana beliau masih menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno hingga Mac depan.

Beliau berkata apa saja yang mahu dilaksanakan dan berkaitan Pemuda Umno perlu merujuk kepadanya sebagai ketua supaya ia boleh dibincangkan dan diperhalusi bagi mengelak berlakunya perkara yang menjejaskan imej parti.

Seorang lagi calon bagi jawatan itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menyahut cabaran Khairy untuk berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masingmasing.

Bagaimanapun, Datuk Mukhriz Mahathir yang turut dicalonkan merebut jawatan nombor satu dalam sayap pemuda itu tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendirian bahawa soal pemilihan parti merupakan hal ehwal dalaman Umno dan tidak wajar dilakukan secara terbuka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain