suria

Perompak letupkan mesin deposit larikan RM30000

SHAH ALAM: Perompak melarikan wang tunai kira-kira RM30,000 setelah meletupkan sebuah mesin pendeposit tunai di sebuah bank di Wisma Anggerik, Seksyen 26 di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi.

"Kejadian letupan tersebut menyebabkan panel kaca di sekeliling premis bank itu retak dan pecah. Bagaimanapun, tiada yang cedera," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Khalid berkata saksi melihat dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal memecut laju meninggalkan Wisma Anggerik sejurus selepas kejadian.

Polis sedang menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis bank itu, katanya.

Khalid berkata polis sedang menyiasat sama ada kes rompakan itu berkaitan dengan satu lagi kes di Taman Kinrara Puchong, minggu lepas, di mana dua perompak meletupkan sebuah mesin pendeposit tunai di sebuah bank.

Dalam kejadian itu perompak bagaimanapun gagal melarikan wang tunai setelah perbuatan mereka disedari pihak polis yang melakukan rondaan di kawasan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain