suria

Ong Ka Ting Terajui parti dengan penuh ikhlas

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting mengingatkan barisan pemimpin MCA yang baru dipilih untuk menerajui parti itu dengan penuh keikhlasan, efisien dan memastikan semangat kerjasama dan permuafakatan terus subur dalam parti.

Sambil mengucapkan tahniah kepada barisan baru MCA, beliau memberitahu pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di sini hari ini yang beliau yakin dengan keupayaan dan kewibawaan mereka untuk menerajui parti.

"Mereka telah dipilih secara demokratik oleh perwakilan, saya yakin mereka tetap akan boleh menjalankan tugas dengan baik dan menunaikan janji mereka seperti yang telah dikemukakan kepada perwakilan semasa mereka kempen.

"Ini adalah satu masa yang mencabar, mereka perlu memimpin MCA dengan baik, dengan telus ikhlas dan berkesan dengan memastikan semangat berpasukan itu disuburkan. Rakyat dan komuniti ada harapan besar dan saya ucapkan 'selamat maju jaya'," katanya.

Bekas Timbalan Presiden MCA Tan Sri Chan Kong Choy juga mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada barisan baru itu.

Kedua-dua bekas pemimpin parti itu juga menyatakan walaupun mereka telah bersara namun mereka bersedia membantu parti jika diperlukan.

Semalam, barisan baru kepimpinan MCA dipilih yang menyaksikan Datuk Ong Tee Keat dipilih sebagai presiden manakala Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden.

Empat naib presiden yang dipilih ialah Datuk Kong Cho Ha, Datuk Liow Tiong Lai, Tan Kok Hong dan Datuk Dr. Ng Yen Yen yang mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang bertanding dan memenangi jawatan naib presiden parti. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain