suria

Najib Pilih pemimpin untuk masa depan parti

ALOR STAR: Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan semua anggota dan perwakilan supaya memikirkan masa depan parti dalam membuat keputusan untuk memilih calon yang bakal menjadi pemimpin mereka.

Beliau berkata pada pemilihan parti peringkat cawangan, bahagian dan pusat, mereka sepatutnya memilih calon yang terbaik untuk menjadi pemimpin dan menerajui parti dan bukan membuat pemilihan berdasarkan personaliti atau individu tertentu.

"Ingatlah pesanan orangorang tua, jika hendak lakukan sesuatu, fikirlah untuk masa depan, begitulah juga hendak memilih pemimpin, pilihlah yantg terbaik untuk masa depan parti", katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Ketuaketua Jabatan Persekutuan dan Pemimpin Masyarakat anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno sekarang telah berada di persimpangan sejarah dan semua pihak haruslah bermuhasabah diri secara serius dan melihat diri secara jujur.

"Kenal pasti secara tepat sebab musabab kita kalah dan pencapaian peringkat nasional yang tidak memberangsangkan dalam pilihan raya umum lepas", kata beliau.

Najib berkata, beliau peka, faham dan menghormati hak anggota Umno untuk menunaikan amanah dan mengamalkan prinsip demokrasi dalam memilih pemimpin tetapi apa yang lebih penting ialah mereka harus menjadikan Umno sebagai parti keramat yang mewakili suara rakyat.

"Selagi Umno menjadi parti yang mencerminkan suara rakyat selagi itulah Umno menjadi parti keramat dan jika Umno tidak lagi menjadi parti keramat, rakyat akan menolak kita dan kita telah merasai bagaimana rakyat menolak kita", kata beliau.

Katanya, semua anggota parti haruslah mengambil iktibar daripada pilihan raya umum ke12 pada Mac lepas walaupun kenyataan itu pahit untuk diterima tetapi Umno harus bangkit semula dan memenangi pilihan raya umum ke-13.

"Tiada apa yang boleh mengubati hati saya yang hiba melainkan untuk melihat Kedah kembali ke tampuk BN (Barisan Nasional)", katanya.

Beliau berkata, untuk menyelamatkan parti, semua anggota Umno haruslah kembali kepada semangat Umno yang diibaratkan seperti `api dalam sekam' kerana hanya dengan semangat seumpama itu parti dapat menempuh semua halangan dan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib juga menasihatkan anggota Umno supaya tidak mengamalkan sikap berpuakpuak.

"Bagi yang menang jangan buang yang kalah, keleklah yang kalah bersama supaya parti menjadi kuat dan bagi saya tidak ada puak dalam Umno, tidak ada orang siapa, yang penting kita orang Umno", katanya.

Beliau berkata apa yang lebih penting ialah jangan mengkhianti orang lain dan parti kerana mereka yang berbuat demikian pasti akan menerima padahnya.

"Ada bezanya antara menjadi ahli Umno dengan "orang Umno" dan saya harap kita semua adalah orang Umno", kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata beliau akan menyokong penuh hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwai yang mahu terus membuat perubahan dalam kerajaan.

Najib berkata apa yang telah dilakukan oleh Abdullah ialah satu perubahan kepada kepimpinan generasi baru dan disebabkan itu Perdana Menteri telah memberi laluan yang mudah dan yang terbaik kepada beliau untuk menjadi penggantinya.

Katanya jika ditakdirkan beliau menjadi pemimpin nombor satu kelak, beliau akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan yang terbaik dan menganggapnya satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul.

"Saya masih ingat kata-kata Pak Lah (Abdullah) kepada saya iaitu terdapat perbezaan antara menjadi seorang menteri dengan seorang timbalan perdana menteri dan bertambah banyak perbezaan lagi antara timbalan perdana menteri dengan perdana menteri." BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain