suria

Perbicaraan Raja Petra ditangguh ke Isnin pendakwaan ingin teliti semula pertuduhan

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes hasutan membabitkan penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin kepada Isnin depan bagi membolehkan pihak pendakwaan meneliti dan mempertimbang semula pertuduhan berikutan percanggahan yang dibangkitkan pihak pembelaan berhubung keaslian artikel yang dilampirkan bersama pertuduhan.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas peguam bela Gobind Singh Deo mendapati artikel yang dilampirkan bersama pertuduhan tidak sama dengan artikel sebenar yang diterbitkan pada 25 April lalu.

Gobind turut membandingkan dua artikel terbabit yang mana tiada sebarang tajuk tertera dalam artikel yang dilampirkan bersama pertuduhan seperti mana yang tertulis dalam artikel sebenar iaitu "Lets Send the Altantuya Murderers to Hell."

"Berdasarkan lampiran artikel itu, terdapat beberapa perkara yang bercanggah antaranya, kandungan artikel telah ditaip semula dan gambar Raja Petra disalin semula, bukannya yang asli," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor membantah supaya tiada sebarang soalan berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu ditanya secara terperinci memandangkan kes terbabit masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Soalan kepada saksi perlu menjurus kepada pertuduhan bukan kisah pembunuhan wanita Mongolia itu berikutan ia boleh menjejaskan kes terbabit yang masih belum selesai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Gobind bertanyakan soalan mengenai bagaimana Altantuya dibunuh dan apakah yang berlaku ketika kejadian itu.

Dalam perbicaraan hari ini, saksi kelima pendakwaan, ialah Penolong Pengarah Pusat Biro Nasional/Interpol, Deputi Superintendan Polis, Gan Tack Guan.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Gan berkata beliau membuat laporan polis pada 30 April lalu selepas terbaca artikel mengenai Altantuya di blog Malaysia Today yang mana terdapat empat isu yang dibangkitkan dalam penulisan itu tidak benar dan hanya diada-adakan.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti empat isu terbabit.

"Saya telah membaca sebanyak dua kali artikel itu dan kali pertama di komputer pejabat saya manakala kali kedua di pejabat DSP Mahfuz di Bukit Aman.

"Apa yang saya tahu terdapat beberapa perkara yang tidak benar dan sengaja diadaadakan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain