suria

Hasan Malek tawar diri tanding jawatan MT Umno

SEREMBAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasan Malek hari ini mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Hasan, 62, anggota Parlimen Kuala Pilah berkata keputusan itu dibuat berdasarkan antara lain saranan, gesaan dan harapan masyarakat Felda yang beliau naungi serta galakan anggota Majlis Belia Malaysia (MBM) yang pernah diterajui.

"Rancangan Felda berada di 54 kawasan Parlimen dan 92 Dewan Undangan Negeri di seluruh negara dengan komposisi penduduk sejumlah 1.1 juta orang.

"Dengan itu, kehadiran saya dalam MT adalah sebagai jambatan penghubung antara masyarakat Felda dengan parti khasnya dan kerajaan amnya," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah berkata begitu juga dengan hala tuju golongan belia di negara ini yang dahagakan aspek kepimpinan yang progresif lagi dinamis selaras dengan tuntutan sosio politik tanah air masa kini.

"Peranan saya selaku bekas pemimpin belia di peringkat kebangsaan dan serantau sedikit sebanyak mampu dimanfaatkan melalui platform MT Umno.

"Sesungguhnya, angin perubahan yang sedang dituntut oleh banyak pihak untuk meremajakan Umno turut menyemarakkan lagi semangat saya untuk bersamasama menghulurkan khidmat bakti bagi menjayakan misi ini dengan harapan Umno akan terus kukuh dan relevan dalam mengharungi arus cabaran politik semasa, khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Hasan berkata sepanjang tempoh 13 tahun selaku wakil rakyat dan hampir 25 tahun dalam politik beliau telah menyandang pelbagai jawatan sehingga kini memegang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah. BERNAMA

Artikel Lain