suria

Pemuda Umno Kelantan cadang Annuar Musa tanding Naib Presiden

KOTA BAHARU: Pergerakan Pemuda Umno Kelantan hari ini mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Ketuanya, Dali Husin berkata, ini berdasarkan kepada pengalaman luas Annuar dalam politik tanah air yang mampu membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkasakan parti terbesar bangsa Melayu itu.

"Cadangan ini berdasarkan kepada pengalaman Tan Sri Annuar Musa yang begitu lama dalam parti dan kerajaan serta memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi Umno Negeri, Ahli Majlis Tertinggi dan bekas Menteri Kabinet. "Ia sudah tentu boleh membantu Umno dan pucuk pimpinan untuk memperkukuhkan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dali berkata, peranan Annuar amat diperlukan terutama untuk merampas kembali negerinegeri yang diperintah pembangkang selain tiada calon dari negeri terbabit yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu.

Sehubungan itu, Dali menyarankan semua bahagian Umno di seluruh negara memberikan sokongan dan mencalonkan Annuar bagi jawatan itu.

Annuar yang dihubungi enggan memberikan sebarang komen mengenai cadangan itu.

Sementara itu pergerakan itu juga mengetengahkan tiga wakil Pemudanya untuk bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat iaitu Setiausaha Pemuda Umno Negeri Anuar Safian, Ketua Penerangan Umno Negeri Mohd Afandi Yusoff dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang Bazlan Baharuddin. BERNAMA

Artikel Lain