suria

Syed Ali Nur Jazlan diminta fikir semula hasrat tanding Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR:Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Syed Ali Al-Habshee menasihati Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya memikirkan semula hasrat beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Syed Ali berkata ini penting kerana sebagai pemimpin muda adalah terlalu awal untuk Nur Jazlan, yang juga anggota Parlimen Pulai menawarkan diri untuk menduduki kerusi nombor dua terpenting di dalam UMNO.

Katanya Nur Jazlan haruslah bersabar dan tunggu masa dan ketika yang sesuai untuk menawarkan diri merebut jawatan kedua penting dalam parti dan jangan dilihat terlalu "ghairah" untuk bertanding jawatan itu.

"Memang Umno tidak menghalang manamana calon untuk bertanding apa jua jawatan dalam parti, tetapi pada saya hasrat Ketua Umno Bahagian Pulai itu hanya akan memberi tanggapan kepada umum bahawa beliau sebenarnya terlalu ghairah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Ali mengulas pengumuman Nur Jazlan, 42, menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno menjadikan beliau pemimpin ketiga berbuat demikian selepas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain