suria

Donald Lim MCA patut timbang jual semua saham dalam Nanyang

PETALING JAYA: MCA patut mempertimbangkan menjual semua baki saham miliknya dalam Nanyang Press Holdings Berhad (NPHB), sebagai satu cara untuk memastikan kebebasan akhbar terus terpelihara di negara ini, kata Naib Presiden parti Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini.

Lim, semasa membuat gesaan itu berkata masyarakat Cina sememangnya membantah tindakan MCA membeli Nanyang Press Holdings Berhad (NPHB) sejak 2001.

Katanya parti itu masih memegang kirakira 3.5 peratus saham bernilai RM47 juta selepas menjual sebahagian besar sahamnya kepada Media Chinese International Limited (sebelum ini dikenali sebagai Sin Chew Media Corp).

"Saya merupakan orang pertama yang menggesa pemimpin MCA untuk melepaskan saham dalam Nanyang selepas dipilih sebagai naib presiden parti sejak 2005," katanya kepada pemberita di pejabatnya di pejabat MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan di sini hari ini.

Lim yang juga Timbalan Menteri Penerangan mendakwa Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang akan melepaskan jawatannya telah "mempengaruhi" pembelian NPHB dan meminta penjelasan daripada Ong mengenai kerugian RM100 juta yang dialami sejak pembelian saham itu.

"Ong juga mesti menjelaskan kepada semua anggota mengenai kerugian RM100 juta sejak pembelian Nanyang Berhad. RM100 juta itu sebenarnya boleh dijadikan dana bagi bahagian dan setiap bahagian boleh mendapat RM500,000," kata Lim.

NPHB menerbitkan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press.

Mengenai sama ada akhbar The Star, yang juga dimiliki MCA patut dijual, Lim berkata akhbar berbahasa Inggeris itu memainkan peranan berbeza berikutan akhbar itu sendiri amat kukuh dalam pasaran yang kompetitif.

"Tetapi, sudah tentu, saya tidak mahu melihat media dikawal oleh manamana parti komponen BN (Barisan Nasional)," katanya.

Sementara itu, Lim juga menggesa komponen BN menyemak semula monopoli Media Prima terhadap media elektronik yang mengawal TV3, NTV7, 8TV dan TV9.

"Kerajaan pimpinan BN patut mencari jalan untuk membenarkan kebebasan akhbar daripada segi laporan editorial supaya asas kebebasan akhbar dipelihara," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain