suria

Koh hanya mahu 2 penggal jika dipilih Presiden Gerakan

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk jawatan Presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih. "Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Koh berkata, beliau menetapkan tempoh itu kerana mahu generasi muda supaya mengambil alih kepimpinan secepat mungkin dan meneruskan proses komitmen politik demi rakyat Malaysia.

"Tugas saya bagi dua penggal yang akan datang ialah untuk memupuk kepimpinan muda di semua peringkat supaya meneruskan perjuangan parti untuk rakyat," katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang nama untuk Timbalannya, Koh berkata, parti itu menyerahkan kepada akar umbi untuk menentukannya berdasarkan kepada proses demokrasi.

"Kami akan berunding dengan akar umbi dan biarkan mereka memberi maklum balas. Saya menawarkan diri tetapi itu tidak bermakna akar umbi mesti terima. Kami perlu melalui proses demokrasi," katanya.

Mengenai pelan peralihan kepimpinan Umno yang dipercepatkan daripada Jun 2010, Koh berkata, beliau berharap peralihan itu akan berlangsung dengan lancar agar kestabilan politik dan ekonomi dapat dikekalkan.

Sementara itu, pada sidang akhbar berasingan, Anggota Jawatankuasa Pusat Gerakan Lim Si Pin mengumumkan beliau akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Gerakan dalam pemilihan parti bulan depan.

Anggota Pemuda Gerakan Negeri Sembilan, Paul Yong akan menjadi gandingan Lim dalam perebutan jawatan nombor dua tertinggi dalam sayap parti itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain