suria

Ku Li gesa pemilihan parti dikekal Disember ini

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang semalam menyifatkan keputusan menunda pemilihan parti sebagai "permainan kanak-kanak" dua pemimpin, hari ini menggesa ahli-ahli Umno supaya menolak keputusan Majlis Tertinggi (MT) semalam.

"Mereka patut menolak (keputusan MT semalam) kalau sayangkan parti.

"Mereka mesti tentukan sikap untuk menolak kerana ini (peralihan kuasa) bukan perkara kecil," kata beliau pada sidang media di rumahnya di sini sebentar tadi.

Kata beliau, ahli-ahli Umno perlu meminta supaya pemilihan pucuk kepimpinan pusat dikekalkan Disember ini, bukannya menunda ke Mac depan.

Kata beliau, ahli-ahli Umno perlu meminta supaya pemilihan pucuk kepimpinan pusat dikekalkan Disember ini, bukannya menunda ke Mac depan.

"Kita sebagai ahli Umno tak boleh menerima, ini bukan soal nak pindah harta kepada sesiapa ataupun jawatan kepada sesiapa kerana semua ini perlu ditentukan oleh ahli-ahli Umno," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak bercadang untuk membawa sebarang usul berkenaan pelan peralihan kuasa yang dirancangkan walaupun ia sebenarnya di luar perlembagaan parti.

"Nak bawa usul kita perlu adakan mesyuarat khas dan perhimpunan khas.

"Ia bukan sesuatu yang senang untuk dapatkan sokongan bahagian. Memadailah saya buat bantahan lisan kerana bukan saya seorang saja (yang membantah), tapi juga ahli-ahli Umno lain," katanya.

Semalam Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, yang sebelum ini pernah menawarkan diri mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding jawatan Presiden berkata, beliau masih kekal dengan pendirian mahu menawarkan kepimpinan alternatif kepada Umno dan negara.

Hari ini beliau mengulangi pendirian itu sama ada Abdullah bertanding ataupun sebaliknya.

Semalam Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan sebelum 9 Oktober sama ada bertanding mempertahankan jawatannya ataupun tidak.

Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap akan bertanding tidak kira bila pemilihan Umno diadakan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pelan peralihan kuasa dalam masa terdekat ini hanya berlaku pada peringkat Presiden Umno sahaja.

"Nampaknya begitulah. Apa jua cadangan tak akan merubah keadaan kerana Perdana Menteri tetap Perdana Menteri.

"Kalau beliau dipilih juga pada Mac nanti, maka dia akan tetap kekal hinga 2010, jadi ia tak bawa makna apa-apa melainkan kita hanya sekadar dimainkan," katantya.

Mengulas mengenai Badan Perhubungan Umno Kelantan yang bersepakat menerima pelan peralihan kuasa antara Abdullah-Najib, beliau berkata, kesepakatan itu tidak menyeluruh.

"Saya pun anggota Badan Perhubungan Umno Kelantan, saya tak hadir pada mesyuarat yang dikatakan telah mencapai kata sepakat itu.

"Saya diberitahu ada juga ketua-ketua bahagian tidak hadir... jadi bagaimana pula dikatakan kata sepakat?" katanya.

Ditanya sama ada memadai untuk beliau sekadar menjadi Presiden Umno, beliau berkata, matlamatnya ialah untuk menjadi Perdana Menteri.

"Saya akan cadangkan supaya pendapatan rakyat dapat ditingkatkan daripada 4,000 dolar Amerika setahun kepada 10,000 dolar Amerika setahun jika menjadi Perdana Menteri," katanya.

Artikel Berikut

574 produk disahkan bebas Melamine

Artikel Lain