suria

Pengurusan Puduraya: Letak pegawai JPJ di Terminal Puduraya banteras ulat tiket

KUALA LUMPUR: Permohonan daripada pihak pengurusan Bangunan Puduraya, Uda Holdings Bhd, supaya pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditempatkan di Hentian Puduraya bagi membanteras ulat tiket akan dikemukakan kepada pihak berkenaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T. Murugiah.

"Mereka mohon supaya diletakkan pegawai JPJ untuk satu tempoh jangka panjang.

Permohonan ini akan kami cadangkan kepada JPJ atau Kementerian Pengangkutan dan terserah kepada budi bicara mereka untuk meluluskannya," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di hentian itu hari ini.

Beliau berkata Biro Pengaduan Awam yang terletak di bawah tanggungjawabnya, akan menghantar permohonan itu kepada kementerian berkenaan selepas hari raya nanti.

Murugiah berkata pengurusan bangunan itu juga meminta agar disediakan bas henti-henti dari terminal ke terminal untuk memudahkan orang ramai bergerak.

"Ketika ini mereka terpaksa menggunakan teksi atau bas untuk ke Terminal Putra dari Pudu sebagai contoh, dan ini menyukarkan mereka," katanya. Selain aduan mengenai ulat tiket, Murugiah berkata pihaknya juga turut menerima aduan mengenai kelewatan bas tiba di hentian dan kenaikan harga tiket.

"Jika kami menerima aduan mengenai kes kenaikan harga tiket melampau, kami tidak teragak-agak untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati menaikkan tambang melebihi harga yang ditetapkan.

"Bagi aduan mengenai bas lewat tiba, orang ramai diminta bersabar memandangkan kesesakan jalan raya berlaku di musim perayaan ini," katanya.

Mengenai hasil tinjauannya, beliau berkata pihak pengurusan Puduraya dan pengusaha bas telah menyediakan perkhidmatan yang baik.

"Saya difahamkan lebih RM200,000 telah dibelanjakan bagi sistem penyejukan untuk keselesaan orang ramai di hentian ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain