suria

Bekas pembantu klinik didenda RM6,000 melakukan pengguguran haram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu klinik didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pengguguran haram ke atas seorang wanita Indonesia sehingga menyebabkan wanita itu mati pertengahan Julai tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris turut memerintahkan Wong Ah Kean, 61, dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Wong didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk menyebabkan keguguran kepada Fitriani, 28, yang telah menyebabkan kematiannya di kliniknya di 84b, Jalan Hang Kasturi di sini pada 9 malam, 15 Julai 2007.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah bersetuju untuk menerima bayaran RM700 bagi melakukan pengguguran tersebut.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa kehilangan banyak darah semasa proses pengguguran itu.

Terdahulu peguambela Francis Goh, merayu kepada mahkamah agar mengurangkan hukuman kerana faktor usia anak guamnya, selain Wong telah insaf di atas kesalahannya.

Wong membayar denda tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Asma Ahmad. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain