suria

Pemimpin Sabah nafi tubuh parti baru

TAWAU: Bekas Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Yun Fah menyifatkan cerita yang mengaitkan namanya dengan cadangan penubuhan sebuah parti politik baru di Sabah sebagai khabar angin.

"Tidak ada, tidak ada itu, itu khabar angin sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas cerita yang kononnya beliau dan bekas pemimpin dari Parti Maju Sabah (Sapp) yang meninggalkan parti itu minggu lepas, merancang menubuhkan parti baru.

Sehingga hari ini, katanya, beliau belum dihubungi oleh sesiapapun berhubung perkara berkenaan namun bersedia memikir dan menimbang sebarang cadangan jika ia adalah untuk kebaikan rakyat.

"Sekiranya ada cadangan dan pelawaan, saya sedia menimbang selagi ia membawa kebaikan kepada rakyat," katanya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Sapp, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dilaporkan berkata di Sandakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti baru walaupun mengakui ia bukan tugas mudah. BERNAMA

Artikel Lain