suria

Shahidan nafi Umno Perlis buat keputusan mengenai pelan peralihan kuasa

KANGAR: Badan Perhubungan Umno Perlis tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun 2010.

Sehubungan itu pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin semalam bahawa Umno Perlis bersetuju pelan peralihan itu perlu ditentukan melalui bahagian Umno kerana ia lebih mencerminkan suara majoriti.

Beliau yang ditemui Bernama di sini lewat malam tadi berkata, meskipun badan perhubungan Umno Perlis bermesyuarat setiap lima hari sekali namun soal peralihan kuasa tidak pernah dibangkitkan.

Bekas Menteri Besar Perlis itu yang terkejut dengan kenyataan itu berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar berhubung perkara itu pada mesyuarat badan perhubungan Umno Perlis minggu depan.

"Mungkin kenyataan itu adalah kenyataan peribadi Zahidi atau mungkin juga pendirian Umno bahagian Padang Besar.Badan Perhubungan Umno Perlis tidak pernah membuat apaapa pendirian setakat ini," katanya di pejabat badan perhubungan Umno Perlis selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Wanita Umno bahagian Arau.

Semalam Zahidi yang mengadakan sidang medianya di sini berkata peralihan kuasa itu tidak semestinya perlu terikat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan yang demikian suara di peringkat bahagian perlu diambil kira dalam menentukan peralihan kuasa itu.

Mengikut pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerah jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Namun barubaru ini Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa peralihan kuasa itu harus ditentukan melalui mesyuarat bahagian Umno manakala Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tempoh peralihan kuasa itu terlalu lama.

Shahidan yang juga Ketua Umno bahagian Arau berkata, Badan Perhubungan Umno Perlis akur dengan setiap keputusan Majlis Tertinggi Umno mengenai peralihan kuasa itu dan tidak akan terpengaruh dengan pandangan mana-mana pihak.

Umno Perlis akan sentiasa patuh kepada keputusan MT dan akan bertindak mengikut arahan dan bukan menjadi penentangnya, katanya.

Shahidan yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini berkata, beliau menyokong pendirian Perdana Menteri dan Najib yang bersedia dengan peralihan kuasa seperti yang telah diputuskan sebelum ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain