suria

PM: Surat Anwar bukan mengenai peralihan kuasa

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata surat yang diterimanya daripada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukannya berhubung peralihan kuasa.

Perdana Menteri berkata surat itu adalah berkaitan dengan situasi dalam negara dan perkara-perkara umum.

"Tidak ada satu surat pun yang dihantar yang berkaitan dengan pemindahan kuasa. Dia (Anwar) hantar surat tentang hal-hal umum yang berkaitan dengan situasi dalam negara," katanya pada sidang akhbar pada majlis penyampaian dermasiswa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Seri Endon Yayasan Budi Penyayang di sini.

Di Kuala Lumpur, Anwar hari ini mendakwa telah menghantar surat kepada Perdana Menteri semalam untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan proses peralihan kuasa secara aman setelah mendakwa kononnya Pakatan Rakyat mempunyai cukup bilangan Anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Mengulas dakwaan Anwar yang mendakwa mempunyai senarai 31 nama Anggota Parlimen Barisan Nasional yang akan melompat ke Pakatan Rakyat, Abdullah berkata: "Itu permainan politik dia (Anwar).

"Ini membawa kepada satu keadaan yang tidak baik bagi rakyat dan negara kita.

"Seolah-olah tiada lagi kestabilan politik di negara kita ini.

"Kalau dia (Anwar) ada (senarai 31 Anggota Parlimen) dia boleh beritahu, biar semua rakyat tahu, biar semua pengundi tahu apa yang telah dia lakukan kepada calon-calon mereka (pengundi)," kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata, beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk berbincang kerana "kalau dia jumpa saya pun nanti mungkin dia buat cerita yang lain."

"Nanti dia kata saya telah setuju tentang itu, tentang ini. Itu adalah tujuan dia mempopularkan diri dia. Saya tidak perlu jumpa dia," katanya.

Abdullah meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara yang berkaitan dengan urusan dan tanggungjawab seharian, dan bukannya sibuk dengan urusan yang memperlihatkan ketidakstabilan politik negara.

"Lebih baik beri perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaan, perniagaan dan tanggungjawab kita yang dilaksanakan sama ada di sektor awam mahupun swasta," katanya.

Anwar ketika ditanya pemberita mengenai kegagalannya untuk mengambil alih pentadbiran negara hari ini (16 Sept) seperti yang digembar-gemburkannya, beliau mendakwa kelewatan itu adalah kerana beliau mahu berbincang dengan Perdana Menteri terlebih dahulu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain