suria

5.3 juta permohonan pengeluaran khas diterima KWSP

KWSP berkata jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak. Gambar hiasan

SEJUMLAH 5.3 juta permohonan bagi kemudahan Pengeluaran Khas yang diterima Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sejak ia dibuka bermula 1 April sehingga Khamis lalu.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini.

Mengikut pengkelasan gaji, ia mewakili 55 peratus golongan B40 yang layak iaitu yang berpendapatan kurang daripada RM1,700; 59 peratus M40 (RM1,701 hingga RM4,900) dan 39 peratus T20 (berpendapatan melebihi RM4,900).

ARTIKEL BERKAITAN: Plan nak keluarkan RM10,000 wang KWSP, dah fikir apa nak buat? Trader kongsi ilmu biakkan duit, yang pasti elak pelaburan saham

"Sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif juga telah memohon. Kaum bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon mengikut kaum tertinggi iaitu 65 peratus, diikuti oleh kaum Cina 12 peratus dan kaum India dengan 7 peratus.

"Jumlah 17 peratus selebihnya adalah terdiri daripada kaum bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukan warganegara," menurut kenyataan berkenaan.

Permohonan tersebut juga melibatkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion yang akan dibayar secara berperingkat bermula 20 April ini.

KWSP memaklumkan, berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan itu, tiga sebab utama permohonan adalah mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), diikuti membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus) dan menambah sumber kewangan (14 peratus).

Sejumlah 40 peratus daripada permohonan pengeluaran itu dibuat adalah bagi menampung perbelanjaan keperluan asas harian dan bulanan, 26 peratus bagi membayar tunggakan hutang dan lapan peratus adalah bagi menambah simpanan dan dana kecemasan.

"Selain itu, ada permohonan yang dibuat bagi membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan iaitu tujuh peratus dan selebihnya adalah untuk tujuan-tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan," jelas kenyataan itu.

KWSP turut menegaskan, setiap aspek keselamatan telah diambil bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau 'scammers' daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan ahli.

"KWSP juga ingin menasihatkan ahli untuk tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan Pengeluaran Khas mereka di platform media sosial, dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan aktiviti scam.

"Ahli juga perlu mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu dan membelanjakan wang mereka dengan bijak serta untuk tujuan yang sesuai," katanya.

Tarikh tutup untuk kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April depan dan ahli boleh memohon melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan Pengeluaran Khas boleh didapati di 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP, atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain