suria

Apakah Segamat Akan Bangkitkan Semula Karier Jui Meng Atau Sebaliknya...

Chua Jui Meng akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat.
Chua Jui Meng akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat.
Chua Jui Meng akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat.

SEGAMAT: Selepas diselubungi kontroversi dan misteri untuk sekian lama, akhirnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan yang pemimpin mereka di Johor, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng sebagai calon untuk Parlimen Segamat.

Jika tiada sebarang halangan dan rintangan, beliau akan berhadapan dengan penyandang kerusi berkenaan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Kedua-duanya adalah kawan lama.

Chua, yang merupakan bekas wakil rakyat Bakri mengakui yang beliau tidak begitu arif tentang persekitaran Segamat.

Kali terakhir beliau berkunjung ke kawasan berhampiran Segamat ialah di Sekijang - sebuah lagi kawasan parlimen yang bersempadan dengan Segamat.

Namun beliau bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan. Lagi pun katanya; "Saya masih muda...saya boleh hadapi apa saja."

Hakikatnya Chua sudah pun berusia 70 tahun.

Pada masa yang sama, Segamat iaitu sebuah kawasan dengan 47,115 orang pengundi dan 55% adalah pengundi Melayu dan India bakal memberi cabaran yang besar kepada BN.

Sistem jalan di Segamat dikatakan antara yang paling buruk di negeri Johor dan penduduknya mahu kerajaan negeri serta pusat memberi perhatian khusus kepada permasalahan itu.

Masyarakat Melayu dan India pula yang menduduki kawasan perkampungan dan estet turut dahagakan peluang, pembangunan dan kemakmuran ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Tetapi terdapat juga cakap-cakap kononnya pengusaha kecil dan sederhana yang merupakan nadi kepada ekonomi Segamat tidak begitu selesa dengan pengenalan gaji minima oleh kerajaan dan mereka meletakkan bebanan itu di atas bahu Subramaniam yang merupakan menteri Sumber Manusia.

Pengerusi MIC Segamat, A. Nadarajah bagaimanapun mempunyai pandangan sebaliknya.

Katanya, banyak permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk Segamat telah ditangani sebaik mungkin oleh Subramaniam selaku wakil rakyat mereka.

"Subramaniam bukanlah satu wajah asing untuk penduduk Segamat tidak sepertimana Chua yang kini berada di Segamat kerana dia tidak dapat bertanding di Gelang Patah atau tempat lamanya Bakri," ujar Nadarajah.

Nadarajah juga berpendapat, pilihan raya kali ini tidak sepertimana 2008. PKR melakukan kesilapan yang besar jika mereka fikir mereka boleh letakkan siapa sahaja untuk bertanding dan menjangkakan orang ramai akan menerima pemimpin itu, katanya lagi.

Malah beliau berkeyakinan penuh yang pengundi-pengundi Melayu dan India akan memberi sokongan yang padu kepada BN termasuklah 25 hingga 30 peratus pengundi Cina.

Ketua MCA Segamat, Dr Lee Hong Tee juga berkongsi aspirasi yang serupa.

Beliau yakin, majoriti penduduk Segamat akan bersama-sama BN lebih-lebih lagi PKR meletakkan seorang yang tidak dikehendaki di kawasan lain untuk bertanding di parlimen ini.

"Memang tidak boleh dinafikan akan ada kelompok yang akan menyokong pembangkang tidak kira apa juga kebaikan yang telah dilakukan oleh BN tetapi saya berpendapat majoriti penduduk dan pengundi Segamat sentiasa bersama BN," kata bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah itu.

Sementara itu, Chua turut berhadapan dengan cabaran yang tidak kurang juga besarnya.

Di samping membawa label "orang luar" dan tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang boleh dijadikan rujukan di Segamat, dia juga khabarnya menerima tentangan daripada bekas pengerusi DAP Johor, Pang Hok Liong yang memprotes pencalonannya di Segamat.

Hanya beberapa hari yang lalu, Pang yang pernah bertanding dan tewas di Segamat pada 2008 berhasrat untuk bertanding sekali lagi.

Walaupun akhirnya Pang menerima kedatangan Chua tetapi tidaklah diketahui sama ada dengan tangan yang terbuka atau sebaliknya.

Chua bagaimanapun memperlihatkan sikap tenang dalam berhadapan dengan semua ini.

Sebenarnya, kata Chua, semua isu ini berbangkit kerana beliau sendiri tidak berpeluang lagi menjelaskan situasi terkini kepada para penyokong DAP.

Semuanya akan selesai dalam beberapa minggu yang mendatang, jelasnya.

Artikel Lain