suria

3,000 Mahasiswa Berkampung Di Perlis

KANGAR: Lebih 3,000 pelajar berhimpun di 59 kampung seluruh Perlis pada Jumaat bagi menyertai program Inovasi Sosial dan Sanggar Budaya selama tiga hari anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Mereka terdiri daripada 2,955 pelajar UniMAP yang menyertai program Inovasi Sosial dan 202 pelajar antarabangsa daripada 12 institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara yang menyertai program Sanggar Budaya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan kedua-dua program itu di kampus tetap UniMAP di Pauh Putra dekat sini dengan harapan peserta dapat membantu memberi lonjakan pradigma kepada masyarakat untuk mengubah struktur ekonomi dan sosial mereka.

Baginda, yang juga Canselor UniMAP, berharap penyertaan pelajar antarabangsa dalam program Sanggar Budaya itu akan memberi pengalaman baru kepada mereka untuk menghayati budaya masyarakat tempatan.

Pelajar antarabangsa yang menyertai program Sanggar Budaya itu akan tinggal bersama keluarga angkat di empat kampung manakala 2,055 pelajar UniMAP yang merupakan pelajar negara ini ditempatkan di 55 buah kampung.

Kedua-dua program itu adalah kesinambungan kepada program Baktisiswa Perdana yang dilaksanakan empat tahun berturut-turut sejak 2007 dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penganjuran majlis anak angkat yang disertai peserta paling ramai dan jumlah kampung yang besar.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, program Sanggar Budaya itu akan membuka ruang untuk pelajar antarabangsa turut mendalami Bahasa Melayu selain didedahkan dengan budaya dan tradisi masyarakat tempatan.

"UniMAP sentiasa berusaha mewujudkan kumpulan pelajar antarabangsa yang menghayati budaya masyarakat tempatan dan menguasai Bahasa Melayu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain