SEORANG lelaki maut selepas ditembak empat lelaki bermotosikal ketika sedang berada di luar rumahnya, awal pagi Jumaat.
Menurut polis, ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 3.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Haris baru pulang ke rumah selepas bermain kriket dan sedang menunggu untuk bersahur.
Ketika sedang berdiri bersama seorang individu di luar rumahnya yang terletak di Aligarh, Uttar Pradesh, mangsa dihampiri oleh empat lelaki yang menaiki dua motosikal.
Tidak semena-mena, salah seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyaksikan mangsa rebah.
Kemudian seorang yang lain turun dari motosikal dan melepaskan tiga das tembakan untuk memastikan mangsa mati.
Insiden tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup di premis berhampiran rumah mangsa.
Menurut polis, serangan terhadap mangsa mungkin berpunca daripada permusuhan, namun siasatan masih dilakukan daripada segenap aspek untuk memastikan motif serangan.
"Kami menerima maklumat mengenai kejadian tembakan itu sekitar pukul 3.30 pagi. Mangsa dibawa ke hospital serta-merta, namun dia disahkan meninggal dunia," kata polis. -Agensi