SEORANG pelajar universiti ditahan polis kerana menikam rakannya yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan teman wanitanya.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 19 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal berikutan ditikam di muka, dada dan lengan kanannya.
Pegawai dari Balai Polis Khlong Luang, Pathum Thani, Thailand bergegas ke lokasi kejadian di sebuah kondominium di daerah tersebut pada kira-kira pukul 1 pagi, Khamis, selepas menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di tempat kejadian, polis menemui mangsa yang dikenali sebagai Rutjapor dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Thammasat untuk menerima rawatan.
Mangsa sempat memberitahu pihak berkuasa bahawa penyerang adalah rakannya, Shinnawat.
Suspek didakwa di bawah Seksyen 297 Kanun Jenayah iaitu menyerang orang lain secara fizikal dan mengakibatkan kecederaan serius.
Jika sabit kesalahan, bakal berdepan hukuman penjara enam bulan hingga 10 tahun dan denda antara 10,000 baht (RM1,321) hingga 200,000 baht (RM26,432).
Polis masih menjalankan siasatan dan akan mengambil keterangan daripada teman wanita Shinnawat. -Agensi